Op Samseng Jalanan: Empat mat rempit ditahan

Op Samseng Jalanan: Empat mat rempit ditahan

EMPAT penunggang motosikal dipercayai mat rempit ditahan dalam Op Samseng Jalanan di dua lebuhraya utama iaitu BORR dan PLUS berhampiran Sama Gagah di Pulau Pinang
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH :  Empat penunggang motosikal dipercayai mat rempit ditahan dalam Op Samseng Jalanan di sini, awal pagi tadi.

Jurucakap polis Pulau Pinang berkata, mereka ditahan kerana menunggang motosikal secara berbahaya termasuk beraksi ala ‘superman’, bersaing sesama sendiri, melawan arus dan sebagainya.

Terdahulu katanya, operasi penguatkuasaan itu dijalankan di beberapa kawasan tumpuan atau ‘hotspot’ termasuk di Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (BORR) dan di Projek Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) berhampiran Sama Gagah, di sini.

Beliau berkata, operasi yang berlangsung selama hampir enam jam bermula 1 pagi itu dijalankan oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang.

“Kesemua empat penunggang motosikal itu ditahan secara berasingan di kedua-dua lokasi (BORR dan PLUS) dan polis turut mengeluarkan sebanyak 19 saman atas pelbagai kesalahan.

“Pada masa yang sama, sebanyak empat buah motosikal turut disita di bawah Seksyen 64 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kesemua penunggang motosikal yang telah ditangkap di bawah Seksyen 42 (1) APJ 1987 itu telah dibawa ke balai polis untuk tindakan selanjutnya.

“Dalam hal ini, polis ingin menasihatkan orang ramai agar tidak melibatkan diri dengan sebarang aktiviti-aktiviti lumba haram yang tidak memberikan sebarang faedah.

“Aktiviti ini membahayakan bukan sahaja kepada diri sendiri, tetapi juga kepada pengguna jalan raya yang lain,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN