PETALING JAYA: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan nahas dua helikopter di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, Perak hari ini sebagai satu berita menyedihkan buat seluruh rakyat Malaysia.
Beliau turut menzahirkan ucapan takziah kepada semua ahli keluarga mangsa terlibat dalam nahas dua helikopter milik TLDM tersebut.
“Hari ini saya dan seluruh rakyat Malaysia dikejutkan dengan berita sedih nahas dua helikopter di Pangkalan TLDM Lumut yang membawa 10 kru ketika melakukan latihan lintas hormat sempena sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90.
“Salam takziah buat semua ahli keluarga mangsa yang terlibat dalam nahas tersebut. Marilah kita berdoa semoga Allah SWT memberikan mereka kekuatan dan kesabaran dalam menghadapi ujian kehilangan ini,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Ahmad Zahid turut mendoakan semoga Allah mencucuri rahmat kepada mangsa yang terkorban, diterima amal soleh, diampunkan segala dosa serta ditempatkan mereka dalam kalangan para solihin.
Terdahulu, media melaporkan seramai 10 mangsa terdiri daripada tujuh kru dan tiga penumpang maut dalam nahas membabitkan pertembungan dua helikopter yang sedang dalam latihan lintas hormat sempena sambutan Hari Ulang Tahun TLDM ke-90 pagi ini.
Dua helikopter yang terdiri model HOM dan Fennec itu berlepas dari Padang Sitiawan, Perak kira-kira pukul 9.03 pagi.
Berdasarkan video yang tular, kedua-duanya dipercayai bertembung ketika hendak membentuk formasi penerbangan raptai lintas hormat yang dirancang berlangsung di ruang udara Pangkalan TLDM Lumut.
Susulan pertembungan berlaku, kedua-dua pesawat terbabit hilang kawalan sebelum terhempas.
Pesawat HOM terhempas di tangga Stadium TLDM Lumut, manakala pesawat Fennec terhempas di kolam renang Kompleks Sukan TLDM Lumut. – UTUSAN










