Nahas dua helikopter:  Kementerian akan segera keluarkan laporan interim 

Nahas dua helikopter:  Kementerian akan segera keluarkan laporan interim 

MOHAMED Khaled Nordin pada sidang akhbar sempena Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Kem Kementah, Kuala Lumpur di sini, hari ini. Foto: AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan akan mengeluarkan segera laporan interim mengenai kejadian  nahas dua helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Lumut, hari ini.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, laporan interim akan dikeluarkan dalam masa terdekat.

“Berkenaan laporan kita akan melihat laporan interim dan kita akan cuba buat segera mungkin. Kemudian kita akan ada laporan penuh tetapi semua akan mengambil masa.

“Kementerian  juga setuju menubuhkan Lembaga Siasatan oleh TLDM bagi mengenalpasti punca kejadian dan berharap masyarakat tidak tularkan video kejadian demi menjaga sensitiviti dan hormati keluarga mangsa-mangsa,” katanya dalam sidang akhbar pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Kementerian Pertahanan di Kem Kementah di sini, hari ini.

Terdahulu, TLDM dalam satu kenyataan mengesahkan dua helikopter terhempas selepas bertembung di udara  di Pangkalan TLDM, mengorbankan 10 anggota.

Dalam nahas itu, sebuah Helikopter Operasi Maritim (HOM-AW139) TLDM dan sebuah helikopter Fennec TLDM  terhempas semasa raptai Perbarisan Hari TLDM ke-90 pada pukul 9.32 pagi tadi.

Insiden melibatkan seramai 10 orang iaitu masing-masing 7 kru HOM TLDM dan 3 kru Fennec TLDM dan semua mangsa disahkan terkorban di tempat kejadian serta dihantar ke Hospital Angkatan Tentera Pangkalan TLDM Lumut untuk proses pengecaman.

Selain itu, Khaled berkata, beliau dan Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Datuk Seri Mohamad Abdul Rahman, akan pergi ke Pangkalan TLDM bagi mendapatkan maklumat dan laporan secara lebih dekat.

“Ada keluarga yang tinggal di situ. Mungkin bertemu keluarga, beberapa mangsa yang datang berpangkalan di Sabah. Kapal terbang TLDM akan membawa mereka ke Lumut,” katanya.

Beliau juga berkata, bantuan pertama ketika ini adalah untuk menenangkan keluarga mangsa.

“Apa sahaja bencana jika berlaku kita memang ada dua perkara iaitu sumbangan dan bantuan. Ketika ini yang paling penting adalah untuk menenangkan ahli keluarga,” katanya.

Mengulas lanjut Khaled berkata, penganjuran Perbarisan Hari TLDM ke-90 akan dipertimbangkan.

“Saya percaya akan dipertimbangkan kerana ia adalah program yang disusun oleh TLDM,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×