PETALING JAYA: Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) menyediakan koc wanita berwarna merah jambu dalam MRT Laluan Putrajaya bagi memberi keselesaan kepada penumpang wanita.
Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail, Amir Hamdan berkata, inisiatif tersebut sudah dimulakan pada 8 April lalu dan secara tidak langsung meningkatkan keselamatan wanita.
Menurut beliau, inisiatif tersebut juga sesuai kerana pengangkutan awam itu mempunyai 60 peratus penumpang wanita.
“Sebanyak 36 stesen dan 49 tren MRT Laluan Putrajaya telah dipasang dengan pelekat khas berwarna merah jambu bagi memudahkan pengguna mengenal pasti koc wanita.
“Koc wanita terletak di bahagian tengah setiap tren dengan menggunakan sebahagian daripada koc 2 dan koc 3,” kata beliau pada sidang akhbar di sini hari ini.
Menurut beliau, inisiatif koc wanita yang diperkenalkan sebelum ini mendapat sambutan yang baik daripada pengguna.
“Data yang dicerap menunjukkan bilangan aduan berkaitan kes gangguan seksual di MRT Laluan Kajang menurun daripada purata 3.2 sebulan kepada 2 kes sebulan,” katanya.
Amir berkata, pelaksanaan koc wanita akan diperluaskan ke laluan-laluan lain seperti LRT dan monorel pada masa akan datang.
Dalam pada itu, Prasarana menyeru pengguna wanita untuk terus menyokong inisiatif ini bagi memanfaatkan sepenuhnya koc wanita dan memberi ruang kepada pengguna lain.- UTUSAN









