SETIU: Seorang peniaga mengagihkan lebih 100 bungkus minuman secara percuma kepada orang ramai yang terkandas dalam kesesakan lalu lintas di Kampung Chalok, di sini, hari ini.
Nor Fatirah Abdullah, 28, berkata, tindakan itu berlaku secara spontan apabila melihat keadaan pengguna jalan raya yang terlibat dalam kesesakan lalu lintas berdekatan gerainya.
Menurutnya, dia mengagih beberapa jenis minuman seperti air keladi, air bandung, teh ais dan air mineral serta roti.
“Apa yang saya lakukan ini tidak seberapa kerana kita faham musim perayaan kebanyakan kedai masih lagi tutup dan sukar bagi orang ramai untuk mencari makanan dan minuman.
“Saya pernah melalui situasi yang sama dan memahami apa yang dirasai mereka, jadi dengan sedikit sumbangan ini dapat menghilangkan dahaga mereka untuk pulang ke destinasi masing-masing meskipun terpaksa berdepan kesesakan lalu lintas berbelas jam,” katanya ketika ditemui di Kampung Chalok, di sini, hari ini.
Nor Fatirah berkata, laluan Kuala Terengganu-Kota Bharu dekat sini sentiasa mengalami kesesakan yang teruk pada musim perayaan.
Jelasnya, keadaan itu telah berlarutan sejak hari raya pertama sehingga hari ini apabila ramai perantau dalam perjalanan pulang ke ibu negara selepas menyambut Aidilfitri di kampung halaman.
“Saya bersimpati terhadap mereka yang terperangkap dalam kesesakan lalu lintas terutama anak-anak kecil.
“Jadi dengan minuman ini dapat melegakan dahaga dan mengalas perut mereka sementara dapat berhenti rehat dan makan,” katanya.
Tambahnya, dia amat bersyukur dapat berkongsi rezeki dengan orang ramai tanpa mengharapkan sebarang balasan dan menganggapnya sebagai sedekah ketika Aidilfitri. – UTUSAN










