PETALING JAYA: MCA berpendirian keputusan parti itu yang enggan berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu jika bukan calon daripada Barisan Nasional (BN) diletakkan bertanding hanyalah untuk mempertahan dan mengembalikan kekuatan gabungan politik itu.
Ketua Penerangan Pemuda MCA, Neow Choo Seong berkata, keputusan tersebut bukan satu kesalahan, sebaliknya membuktikan parti itu komited dalam usaha mengembalikan kekuatan BN khususnya di Selangor.
Katanya, MCA juga tiada halangan jika parti-parti politik lain mahu membantu DAP berkempen dalam PRK yang akan diadakan pada 11 Mei depan.
“Jika bukan parti komponen sendiri yang berjuang mempertahan BN, kita mahu harapkan siapa lagi?
“Jatuh bangun kita tetap bersama dalam BN. Semasa menjadi pembangkang pun, MCA dan MIC tidak berganjak dan tidak tinggalkan BN.
“Ini adalah bukti semangat setia kawan walaupun tidak dihargai oleh sesetengah pemimpin UMNO sehingga menggelar kami sebagai ‘biawak hidup’,” katanya dalam satu kenyataan.
Pada Jumaat minggu lalu, MCA dilaporkan memutuskan tidak akan berkempen pada PRK DUN Kuala Kubu Bharu sekiranya calon BN tidak diletakkan bertanding di situ.
Kenyataan MCA timbul dua hari selepas MIC yang juga merupakan parti komponen BN memberi bayangan tidak akan turun berkempen pada PRK Kuala Kubu Bharu.
Kerusi DUN Kuala Kubu Bharu kosong berikutan kematian penyandangnya dari DAP, Lee Kee Hiong pada 21 Mac lalu.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, BN tidak akan bertanding di kerusi itu dan menyerahkan kepada gabungan Kerajaan Perpaduan diketuai Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memutuskan calon itu.
DAP kini sedang meneliti senarai pendek calon berpotensi manakala pembangkang Perikatan Nasional (PN) juga sedang menentukan calon parti itu.
Bagaimanapun, kenyataan Ahmad Zahid mendapat teguran daripada Pemuda MCA Selangor, yang menuduh beliau membuat keputusan itu tanpa merujuk parti komponen BN lain dan berhujah kerusi itu patut ditandingi oleh calon MCA.
Mengulas lanjut, Choo Seong menafikan dakwaan yang MCA kemaruk kuasa bertanding dalam PRK kerana semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri sebelum ini, MCA turut membuat keputusan tidak bertanding walaupun sudah ditawarkan.
“Jika MCA kemaruk kuasa seperti yang didakwa, sudah tentu MCA akan melobi dan bertanding di 6 negeri tersebut. Sebaliknya ia tidak berlaku,” katanya.
Katanya, pemimpin-pemimpin DAP termasuk Setiausaha Agungnya, Anthony Loke Siew Fook secara terbuka menghina dan mengguris hati MCA dengan pelbagai tuduhan, malah secara angkuh mengatakan beliau tidak suka MCA dan melabelnya sebagai ‘parti tauke’.
Selain itu, katanya, Naib Pengerusi DAP, Teresa Kok Suh Sim juga secara terbuka dan angkuh menghalau MCA supaya keluar daripada BN.
“Sejak bila DAP berhak menentukan hala tuju BN? Ada juga yang kata calon DAP adalah calon BN. Sejak bila DAP jadi komponen BN?
“Selepas menghina dengan pelbagai kata-kata nista dan menjengkelkan, adakah akar umbi MCA mahu membantu DAP mempertahan kerusi Kuala Kubu Bharu? Kami yakin, jika ia berlaku kepada mana-mana parti sekalipun, sudah tentu reaksi sama akan diberi,” katanya. –UTUSAN










