Masalah air: Pahang sediakan 1,300 tangki statik, 32 lori tangki

Masalah air: Pahang sediakan 1,300 tangki statik, 32 lori tangki

WAN ROSDY WAN ISMAIL menyampaikan duit raya kepada orang ramai di majlis Hari Raya Aidilfitri di Laman Sejahtera Felda Sungai Jelai, Lipis, Pahang hari ini. -UTUSAN/ SALEHUDIN MAT RASAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LIPIS: Kerajaan Pahang mengakui masalah bekalan air pada cuti perayaan Aidilfitri di beberapa kawasan lebih teruk berbanding tahun lepas akibat kemarau dan kering kesan fenomena El-Nino.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail bagaimanapun berkata, Pengurusan Air Pahang Berhad ( PAIP) proaktif  melaksanakan pelan kecemasan dengan menyediakan 1,300 tangki statik dan 34 lori tangki bagi membekalkan air di kawasan terlibat gangguan bekalan air..

Menurutnya, PAIP telah menyediakan Pelan Kesiapsiagaan dan Operasi Tunggu Sedia sebagai persediaan awal berdepan kemungkinan gangguan bekalan air di negeri ini sempena cuti perayaan Hari Raya Aidilfitri.

“Tindakan pantas PAIP tidak langsung dapat meringankan beban pengguna yang  berdepan masalah bekalan air ke rumah kediaman,” katanya kepada pemberita dalam majlis Jamuan Hari Raya peringkat Dewan Undangan Negeri Jelai di Laman Sejahtera di Koyan hari ini.

Wan Rosdy berkata, penggunaan kapasiti air yang meningkat dengan mendadak berikutan anak perantau pulang beramai-ramai secara serentak menyebabkan aliran perlahan malah ada laporan saluran paip pecah.

“Tahniah kepada PAIP kerana walaupun banyak kawasan terputus bekalan air bersih tetapi mereka masih dapat membekalkan air dalam bentuk menghantar tangki air di kawasan terjejas. 

“Tindakan juga telah diambil dari semasa ke semasa. Masalah paip pecah turut berlaku namun tidaklah terlalu banyak serta bukanlah masalah utama,” katanya.

Dalam isu berasingan, sejumlah RM200 juta peruntukan Kerajaan Pusat akan digunakan sebahagiannya untuk menaiktaraf Seksyen FT012 Jalan Kuantan-Segamat tahun ini.

Wan Rosdy berkata, Kerajaan Persekutuan telah meluluskan kira-kira 30 peratus daripada RM600 juta yang dipohon Kerajaan Negeri bagi kerja-kerja menaiktaraf jalan yang rosak di negeri ini.

“Baru-baru ini kita telah dapat sedikit peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan walaupun kita minta banyak, kita dapat lebih kurang 30 peratus daripada apa yang dipohon.

“Dan saya telah arahkan Jabatan Kerja Raya ( JKR) untuk melihat lokasi-lokasi yang selalu menjadi rintangan atau masalah kepada pengguna.

“Saya fikir Jalan Kuantan-Segamat adalah salah satu lokasi yang dalam perhatian serius pihak JKR. Dan peruntukan 30 peratus itu untuk kerja-kerja naik taraf dan ia melibatkan Jalan Kuantan-Segamat akan diutamakan,” katanya. UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN