CALON Pakatan Harapan (PH), Pang Sock Tao menggalas tugas berat untuk mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu dan meneruskan legasi penyandang, mendiang Lee Kee Hiong yang menduduki kawasan tersebut sejak 2013.
Ini kerana Pilihan Raya Kecil (PRK) pada 11 Mei ini dibayangi dengan persaingan sengit empat penjuru terutama dalam menentang calon Perikatan Nasional (PN), Khairul Azhari Saut.
Menjadi cabaran untuk Setiausaha Akhbar kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming itu yang berasal dari Ampang apabila Khairul Azhari merupakan ‘anak jati’ Kuala Kubu Baharu berbanding beliau.
Sock Tao turut memikul tugas untuk memikat dan memujuk pengundi Melayu dan bumiputera di Kuala Kubu Baharu yang kumpulan tersebut mewakili kira-kira 50 peratus daripada 40,226 jumlah pengundi.
Khairul Azhari dijangka memberi tentangan yang hebat kepada Sock Tao berbanding dua calon lain iaitu Nyau Ke Xin yang merupakan calon Bebas dan Hafizah Zainudin pula daripada Parti Rakyat Malaysia (PRM).
Ini ekoran sentimen dan tanggapan negatif terhadap parti komponen PH itu iaitu DAP daripada pengundi Melayu masih kelihatan kuat dan sukar untuk dinafikan oleh mana-mana pihak.
Sekiranya PN berjaya ‘menaluki’ Kuala Kubu Baharu maka ketiga-tiga DUN di bawah Parlimen Hulu Selangor akan dikuasai secara total oleh mereka memandangkan kerusi tersebut merupakan satu-satunya milik PH ketika ini.
Cabaran yang bakal ditempuh oleh Sock Tao turut diakui oleh pemimpin DAP sendiri iaitu Dr. Ong Kian Ming yang merupakan bekas Ahli Parlimen Bangi.
Kian Ming berkata, sekali pun PH berjaya mengekalkan kerusi tersebut tetapi jumlah undi majoritinya akan berkurang kepada 1,000 undi berbanding dengan majoriti undi yang diraih semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lalu.
Jelasnya, persekitaran politik tidak lagi memihak kepada PH buat ketika ini namun dengan strategi kempen dan mesej yang dapat diselaraskan dengan baik mungkin membantu DAP lulus cabaran tersebut dengan margin yang kecil.
Usaha untuk mengekalkan undi bukan bumiputera juga menjadi cabaran buat Sock Tao oleh kerana undi Cina yang dijangka berpecah dua oleh kerana MCA yang enggan membantu dalam berkempen kerana terasa hati dengan kenyataan-kenyataan pemimpin DAP sebelum ini.
Penurunan jumlah majoriti undi yang diraih oleh DAP sejak tahun 2013 juga menyaksikan penurunan yang banyak iaitu semasa Kee Hiong buat kali pertama berjaya merampas DUN Kuala Kubu Bharu daripada MCA, beliau berjaya memperoleh majoriti 7,134 undi.
Namun, jumlah majoriti undi itu semakin menurun sedikit demi sedikit sehingga pada PRN lalu yang menyaksikan Kee Hiong memperoleh hanya majoriti 4,119 undi.
Bagaimanapun, Sock Tao kekal bersikap optimis untuk meneruskan legasi Kee Hiong dan sekiranya diberi peluang untuk berkhidmat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Kubu Baharu maka segala perancangan dan usaha mendiang bakal diteruskan.
“Saya telah melawat pasar-pasar di sekitar Batang Kali, di situ banyak pengundi Melayu dan saya juga mendapat sambutan yang baik.
“Mereka banyak memberi sokongan dan dokongan kepada saya. Saya rasa galakan ini banyak memberi semangat kepada saya, jadi pada saat ini saya sangat yakin kita boleh kekal di Kuala Kubu Baharu,” katanya. – UTUSAN










