PUTRAJAYA: Malaysia menyatakan kebimbangan dan kecewa susulan penggunaan veto di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) untuk menghalang kemasukan Palestin sebagai Anggota Penuh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam.
Tindakan ini dibuat walaupun terdapat sokongan daripada sebahagian besar Negara-Negara Anggota PBB.
Kementerian Luar Negeri menegaskan, pelaksanaan veto ke atas perkara penting dan signifikan ini menimbulkan persoalan terhadap keinginan sebenar Ahli Majlis Keselamatan PBB tersebut untuk merealisasikan hak-hak rakyat Palestin.
“Ini termasuk hak untuk menentukan nasib mereka sendiri ekoran kependudukan haram Israel di Tebing Barat, Gaza dan Baitulmuqaddis Timur sejak 1967.
“Malaysia kekal komited dengan perjuangan rakyat Palestin dan akan meneruskan usaha-usaha ke arah penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat berdasarkan sempadan pra-1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negaranya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam isu ini, Malaysia menggesa masyarakat antarabangsa termasuk Majlis Keselamatan PBB untuk terus berusaha ke arah keanggotaan penuh Palestin di PBB.
Semalam, Amerika Syarikat (AS) bertindak menggunakan kuasa veto bagi mematikan usul PBB untuk mengiktiraf negara Palestin.
Tindakan Amerika Syarikat yang juga sekutu rapat Israel menyaksikan pengundian Majlis Keselamatan PBB (UNSC) membunuh harapan Palestin untuk diterima sebagai ahli penuh badan dunia itu.
AS memberi alasan penubuhan negara Palestin yang merdeka harus dirunding dengan Israel dan bukan melalui resolusi di PBB.
Ketika undian, Britain dan Switzerland bertindak untuk berkecuali manakala 12 ahli lain UNSC mengundi menyokong.
Palestin ketika ini adalah pemerhati bukan ahli di badan dunia itu dan “de facto” kenegaraan diberikan oleh PBB pada 2012.
Keputusan itu membunuh harapan Palestin untuk diterima sebagai sebuah negara yang diiktiraf dan merdeka. –










