BERBAKI beberapa hari sahaja untuk umat Islam seluruh dunia menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Tidak kurang teruja dan menantikan tentunya golongan saudara baharu yang sama-sama merasakan kemanisan menyambut kemenangan selepas sebulan berpuasa.
Hasrat team Pancaindera untuk menyatukan tiga selebriti berstatus mualaf dalam sebuah bingkisan cerita, terlaksana.
Manis dan segak berbusana tempatan, pelakon, Adam Corrie dan Ardini Angeline Tan serta pengarah drama, Michael Ang kami abadikan sebagai penghias sampul hadapan bersempena edisi lebaran kali ini.
Berkongsi pengalaman, Adam, Angeline dan Michael berbagi cerita tentang cara masing-masing menyambut Syawal.

MAAF, SALAH SAYA TAK PANDAI NAK BERMUKA ‘PLASTIK’ – MICHAEL ANG
MENGENALI penerbit dan pengarah sensasi tanah air ini, Michael Ang, jika berada di hadapan kamera, sememangnya cukup mudah terlihat sebagai individu yang berpewatakan ramah dan riuh dek mulut murainya.
Bagaimanapun, siapa sangka, ironinya, akui Michael sendiri, dia lebih suka menyendiri kerana kurang gemar berada di khalayak ramai. Maka, apabila disua pertanyaan mengenai sambutan Hari Raya, meskipun pahit untuk ditelan orang, dia cuma mahu berkata jujur.
“Kalau nak cerita pasal raya, saya ini sejak dari kecil, perayaan Tahun Baharu Cina pun saya tak raikan sangat. Saya ini jenis tak suka banyak orang. Kalau tetamu datang rumah, saya duduk di bilik saja, memang macam itu.
“Tahu sajalah, makcik-makcik kalau datang rumah, asyik nak membawang sahaja, bergebang macam-macam hal. Jadi, sejak saya peluk Islam lima tahun lalu, sambutan Hari Raya saya pun ‘simple’ sahaja. Raya pertama saya akan ke rumah ibu atau dia akan datang ke rumah saya dan kami akan beraya bersama-sama dengan dua anak saya. Pagi raya saya akan pergi masjid, balik rumah dan makan bersama keluarga, tamat.
“Lepas itu tukar baju T dan berseluar pendek duduk di hadapan kaca televisyen sambil tengok rancangan-rancangan menarik Hari Raya,” katanya sambil berseloroh.
Kongsi Michael, dia juga amat jarang untuk melakukan aktiviti ziarah-menziarahi kerana sebab yang sama sebagaimana yang disebut tadi.
“Itu sebab, kalau ternampak saya ada di mana-mana program raya atau program di hari biasa, itu semua kerana saya terpaksa pergi kerana komitmen mempromosi karya. Kalau tak, memang saya tak suka nak ke mana-mana.
“Orang yang dah kenal saya, memang tahu saya begitu. Kadangkala sebab tak nak orang kecil hati, memang saya akan jelaskan situasi itu. Saya minta maaf sangat, jangan berkecil hati ya kalau ada jemputan yang saya terpaksa tolak.
“Memang saya ini tak pandai nak berwajah ‘plastik’ depan orang. Saya akan cakap jujur. Tetapi kalau acara keluarga atau rumah terbuka kawan rapat macam Marsha Milan, saya akan hadir. Namun nak buat rumah terbuka sendiri, memang tak akan buat. Pendek kata, memang susah sebenarnya nak ‘pancing’ Michael ini keluar rumah,”katanya sambil tertawa.
SAYA MUALAF, BERILAH RUANG DAN PELUANG
Mengajaknya berbicara mengenai perbezaan kehidupan sebelum dan selepas memeluk Islam, kata Michael, ada ketika dia lebih selesa seandainya tidak ramai tahu dia merupakan seorang mualaf.
Luah Michael, sejak ramai tahu dirinya memeluk Islam, begitu ramai tuan dan puan ‘serba tahu’ mengkritik dirinya seolah-olah kehidupan mereka sudah begitu sempurna.
“Bila mereka tahu saya mualaf, mereka malah lebih mudah menghakimi. Paling ketara, soal berpakaian. Baru-baru ini saya terkena lagi, bila ada yang nampak saya pakai seluar pendek ke bazar Ramadan, dan tergamak mesej saya di Instagram guna akaun palsu semata-mata kononnya nak tegur saya.
“Katanya saya pakai seluar pendek sangat dan tak jaga aurat, sudahlah mualaf, tak ada ilmu. Sedangkan seluar yang saya pakai itu labuh bawah paras lutut.
“Begitu juga andai saya nak cakap mengenai sesuatu isu berkaitan agama, ada kalangan warganet ini sindir saya suruh diam sahaja tak payah buka mulut sebab saya mualaf. Jadi, kalau awak dilahirkan Muslim, adakah itu tiket awak untuk bercakap buruk pasal orang?”katanya.
Ditanya sama ada terbit rasa di hati mahu memaafkan setiap orang yang pernah berkata buruk dan mengkritik dirinya sempena lebaran ini, penerbit drama berusia 48 tahun ini, bagaimanapun ada jawapan tersendiri.
Baginya, selama ini, apa sahaja cacian, kritikan dan tohmahan yang dilemparkan golongan netizen kepadanya hanyalah kisah di angin lalu.
“Jika bukan Hari Raya sekali pun, setiap hari, saya tak ambil kira, tak nak tahu dan anggap segala kata-kata nista yang dilemparkan itu seakan tidak wujud. Nak kata saya maafkan dan mereka perlu dimaafkan, tak perlu pun sebab benda-benda itu semua saya anggap tak wujud. Apa yang penting, cukup bagi saya, Allah SWT adalah Tuhanku,” katanya.

ISTIMEWA KEMERIAHAN AIDILFITRI – ANGELINE TAN
PERAYAAN Hari Raya Aidilfitri Ardini Angeline Tan, 57, meriah apabila pelakon ini bersama suaminya, Sabri Yunus berpeluang meraikan lebaran bersama keluarga di Kota Bharu, Kelantan.
Kata Angeline, antara yang dinantikan adalah kemeriahan sambutan di kampung dengan kehadiran keluarga dan sanak saudara yang mengimarahkan suasana terutamanya pada hari pertama Hari Raya Aidilfitri.
“Saya seronok pulang ke kampung suami kerana sebelum ini pernah merasakan sambutan Hari Raya Aidilfitri di sana yang sangat meriah dengan kehadiran keluarga dan sanak saudara. Boleh katakan beratus juga jumlah pengunjung yang datang.
“Dan yang saya kagum dengan semangat gotong royong dalam kalangan keluarga, membuatkan saya juga terpanggil membantu membasuh pinggan di dapur.
“Kemeriahan itu yang paling saya nantikan. Walaupun bukan rumah sendiri, saya langsung tak terasa asing,” katanya.
Selain itu, Angeline mengakui cukup senang dengan sikap keluarga Sabri yang meraikan dan mengalu-alukan kedatangannya menyambut perayaan itu di kampung.
“Gembira apabila keluarga di Kelantan mesra dan mengalu-alukan walaupun saya belum fasih berdialek Kelantan. Saya tidak langsung rasa terpinggir kerana layanan mereka terlalu baik buat saya,” tambahnya.
Kata Angeline lagi, suasana yang dirasakan itu berbeza dengan Perayaan Tahun Baharu Cinanya yang disambut lebih sederhana.
“Keluarga saya tak amalkan kunjung mengunjung ketika perayaan Tahun Baharu Cina. Sebab itu sebelum ini saya sambut tahun baharu Cina secara sederhana.
“Begitu juga halnya kalau kami sambut Hari Raya Aidilfitri di Kuala Lumpur, iaitu secara sederhana. Mungkin perbezaannya apabila ada kawan-kawan yang nak datang menziarah,” kongsinya.
KEMENANGAN SELEPAS SEBULAN BERPUASA
Hari Raya Aidilfitri pada Angeline bukan sekadar satu perayaan, tetapi juga sebuah kemenangan selepas menempuh kesukaran dalam melunaskan kewajipan berpuasa.
Kata Angeline, kerana itu dia menganggap perayaan ini sebagai sambutan yang terlalu istimewa.
“Kita menahan lapar dan dahaga, fahami orang susah dan bantu mereka. Itu adalah proses yang benar-benar kita lalui sepanjang Ramadan.
“Ia satu proses yang mencabar. Lebih-lebih lagi buat golongan bekerja. Dan apabila kita berjaya mengharunginya, kita menang. Kemenangan itu menjadi sangat bermakna dan perlu kita raikan dengan penuh kesyukuran,” katanya.
Kata Angeline lagi, dia menyambut baik konsep bermaaf-maafan di Hari Raya yang pada pandangannya, menghidupkan lagi pengertian perayaan tersebut.
“Bulan Syawal umpama lembaran baharu. Kita saling bermaafan, buang dendam dan amarah serta segala perasaan negatif,” katanya.

DARI KECIL MEMANG SUDAH SAMBUT RAYA – ADAM CORRIE
MULA memeluk islam sejak 2006, pelakon prolifik, Adam Corrie sebenarnya sudah lama menyambut lebaran. Sejak kecil, dia sudah bergaul dengan rakan beragama Islam dan menyambut syawal seperti mereka juga.
Kongsinya, ketika di zaman kanak-kanaknya, dia sering mengikuti rakan-rakan sebaya untuk beraya di rumah jiran-jiran terdekat. Kelakarnya, ada kala dia sendiri yang memberi salam untuk datang beraya.
“Sebenarnya saya membesar dengan rakan-rakan agama Islam. Memang rapat dengan mereka. Jadi kalau beraya, memang saya akan ikut. Siap pakai baju Melayu sekali tau, tak kantoi.
“Kadang-kadang, bila mereka malu atau takut nak bagi salam mereka suruh saya yang jerit nak beraya. Saya pun kutip duit raya juga. Selalu kira sama-sama dengan rakan setiap kali dapat duit raya.
“Raya memang seronok tetapi itulah, kita tetap rasa ‘terasing’ sebab berbeza agama. Bila mereka sambut lebaran itu, saya tak faham keseronokkan itu. Meriah tetapi tetap rasa seperti lain,” ujarnya.
Namun semuanya terjawab apabila dia mula mengenal dan mencintai Islam pada 2006. Bermula tahun itu, dia faham erti kemenangan sebenarnya. Mengapa lebaran itu dianggap satu kemenangan untuk umat Islam.
Walaupun dia akui terbit rasa sukar untuk berpuasa di awal tahun dia bergelar mualaf, namun apabila tiba Hari Raya, dia merasai seperti juara. Lama kelamaan, dia mula jatuh cinta dengan berpuasa itu.
“Dulu saya selalu dengar takbir raya, sayu sahaja rasa tetapi masih ada kosongnya. Saya dari kecil sudah dengar dan sampai satu tahap, sudah hafal takbir raya. Bila habis solat raya, saya akan sambung tidur.
“Bapa saya tentera jadi saya tinggal di kuarters kerajaan. Memang masjid sangat dekat. Saya boleh dengar jelas takbir, bacaan solat dan kemeriahan di masjid. Nak pergi rasa macam ‘terasing’ pula kan.
“Tetapi bila ucap syahadah, saya dapat rasa perbezaan melaungkan takbir itu. Ingat lagi tahun pertama saya laung takbir sebagai seorang Islam, memang sayu, terharu dan rasa bersyukur dipilih Tuhan,” katanya.
RAYA SEDERHANA
Ibarat sudah tandatangan sampai mati, perjanjian lokasi beraya sudah semestinya termeterai di keluarga belah isterinya, Fazeema Mohd. Fuad. Mana lagi dia mahu menyambut lebaran kalau tidak bersama keluarga isterinya.
“Setiap tahun sambut lebaran, memang balik kampung isteri. Kalau Tahun Baharu Cina pula, kampung saya. Memang perjanjian sampai mati. Tetapi tahun ini lebih meriah dan besar sambutan raya.
“Tahun ini, kami bersama adik-beradik isteri akan menyambut lebaran di rumah inap. Semua aktiviti sudah disusun sejak awal, jadi memang akan meriah bila semua orang turun. Cuma saya lambat sikitlah.
“Saya akan berniaga sehingga malam raya, jadi, solat raya dan pagi raya itu akan disambut dengan keluarga kecil saya dahulu sebelum bergerak ke Taiping untuk menyertai kemeriahan keluarga di sana,” katanya.
Bercerita tentang memori syawal bersama keluarga isterinya, Adam berkata, dia rindu saat menyambut raya bersama Allahyarham bapa mertuanya. Rasa kemenangan itu berbeza sekali terutama selepas pemergiannya.
“Aktiviti wajib bapa mentua saya setiap kali raya adalah baling dan rebut duit. Memang riuh rendah bila anak-anak semua berebut duit yang dibaling oleh bapa mentua. Masing-masing nak duit banyak.
“Cuma bila dia sudah tiada, kita rasa kosong itu. Meriahnya ada tetapi tidak sama. Sebab itu, tahun ini kami mahu berkumpul dengan adik-beradik lain untuk menceriakan ibu mentua saya di hari raya,” kongsinya.










