PETALING JAYA: Penyanyi, Nomad merasakan tanggungjawab sebagai seorang suami menjadikan dia lebih matang terutama dalam membuat keputusan dan tidak lagi memikirkan hanya tentang diri sendiri.
Jelasnya, dia juga sedar, peranan suami dalam rumah tangga cukup besar dan dia akan berusaha sebaiknya menjalankan amanah serta tanggungjawab untuk kebahagian mereka suami isteri.
“Lepas kahwin saya dapat rasakan pemikiran saya semakin matang. Mungkin sebab sebelum ini saya bekerja untuk diri sendiri. Sekarang tidak lagi, kena fikir untuk isteri dan keluarga saya.
“Kali pertama berpuasa dengan isteri, saya rasa lebih teratur. Yelah, dulu banyak berbuka seorang. Kami pun tidak memilih bab makan, apa rezeki yang ada Alhamdulillah. Kami lebih suka memasak di rumah sahaja.
“Ada kala, sampai berebut siapa nak masak untuk berbuka. Isteri saya pun selalu beri nasihat dalam pemakaian jadi nampak lebih kemas. Seronok berumah tangga ini,” ujar Nomad.
Berkongsi tentang sambutan hari raya, Nomad pulang ke kampungnya di Terengganu terlebih dahulu sebelum ke kampung isterinya, Farah Wahidah Hassan di Alor Setar, Kedah.
“Saya ada juga tanya isteri, nak raya mana dulu. Dia tidak kisah. Jujur mula-mula rasa sukar juga nak buat keputusan, tetapi saya putuskan untuk beraya di kampung saya dahulu.
“Raya pertama saya akan beraya di Kemaman, Terengganu dan raya kedua malam tu saya akan terus balik ke Alor Setar, Kedah,” katanya.
Sementara itu, kongsi penyanyi Terus Menantimu itu, mereka suami isteri tidak terburu-buru untuk memiliki cahaya mata kerana mahu memperkukuhkan kewangan sebelum merancang ke arah itu.
“Saya dan isteri bukan nak buat perancangan keluarga tetapi sebelum ada cahaya mata, kami mahu berikan yang terbaik buat anak-anak.
“Sebelum raya pun dah ditanya bila nak ada anak tapi saya hanya jawab insya-Allah jika ada rezeki,” katanya mendirikan rumah tangga pada 13 Mei tahun lalu.










