IPOH: Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) akan membantu seorang pelajar di Universiti al-Azhar Mesir membawa pulang 200 khazanah kitab turath tulisan ulama Nusantara yang dikumpul di negara itu.
Ketua Pegawai Eksekutif MAIPk, Syamsul Hazeman Md. Salleh berkata, pelajar itu, Muhammad Nur Hadi Salehuddin merupakan pelajar tajaan MAIPk di universiti tersebut.
“MAIPK akan membantu pelajar itu membawa pulang 200 khazanah kitab turath tulisan ulama Nusantara sejak tahun 1920 termasuk karangan Syeikh Mohd. Idris al-Marbawi dan Syeikh Jaafar Hussein yang kebanyakkan dikarang dalam tulisan Jawi dan Aceh sekitar tahun 1920-an dan 1960-an.
“Naskah diperoleh daripada Maktabah Mustafa al-Halabi yang juga merupakan syarikat percetakan dan penerbitan tertua di Mesir serta daripada maktabah-maktabah di sekitar Masjid al-Azhar akan ditempatkan di Perpustakaan Penyelidikan MAIPk.
“MAIPk juga bersedia untuk bekerjasama dengan mana mana pihak bagi memastikan kelestarian khazanah berharga ini terus berkekalan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Muhammad Nur Hadi merupakan penuntut tahun empat Universiti Al-Azhar, Mesir dalam bidang Usuluddin pengkhususan Pengajian Hadis.
Sepanjang menjejaki karya ilmiah tersebut, pelajar itu membelanjakan hampir RM20,000 dan kini memiliki lebih kurang 200 karya dan tulisan dalam simpanannya.
Muhammad Nur Hadi menyimpan hasrat untuk berkongsi karya-karya ilmiah nukilan ulama Nusantara tersebut bersama masyarakat di Malaysia melalui galeri khas atau perpustakaan.
Beliau juga bercita-cita untuk menerbitkan karya sendiri yang berkisarkan pemikiran ulama-ulama Nusantara terkenal terutamanya Syeikh Mohd Idris Al-Marbawi dan Syeikh Wan Ahmad Al-Fattani.
Sebelum ini media melaporkan Muhammad Nur Hadi membelanjakan hampir RM20,000 wang simpanannya bagi mendapatkan 200 kitab turath atau kitab tradisi ilmu Islam karangan ulama alam Melayu dari sekitar 1920-an hingga 1960-an.
Pelajar itu mula mengumpul khazanah berharga tersebut bermula awal 2020 yang kebanyakannya dicetak Mustafa al-Halabi, antara syarikat percetakan dan penjualan buku tertua di negara Timur Tengah itu. – UTUSAN








