LTAT umum dividen sebanyak lima peratus

LTAT umum dividen sebanyak lima peratus

MENTERI Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bersama Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari dan Ketua Eksekutif LTAT Ashraf Radzi pada Majlis Pengumuman Dividen LTAT 2023, di Kuala Lumpur, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Lembaga Ta­bung Angkatan Tentera (LTAT) mengisytiharkan dividen seba­nyak lima peratus bagi tahun kewangan 2023.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pendapatan bersih LTAT telah meningkat kepada RM537.80 juta pada 2023 daripada RM432.47 juta tahun sebe­lumnya yang merupakan peningkatan sebanyak 24 peratus.

Katanya, tahun ini merupakan kali kedua berturut-turut kadar dividen diisytiharkan sebanyak lima peratus.

“Keuntungan terkumpul selepas dividen LTAT juga telah mula berkembang dengan lebih besar kepada RM756.81 juta berbanding RM498.7 juta pada 2022 yang merupakan peningkatan sebanyak 52 peratus.

“Pengumuman dividen hari ini adalah berdasarkan posisi kewangan LTAT yang kukuh dan keseluruhan gabungan ri­zab merekodkan kedudukan kewangan yang sentiasa positif,” katanya pada Majlis Pengumuman Dividen LTAT 2023 di sini, semalam.

Sementara itu, Ketua Eksekutif LTAT, Ashraf Radzi berkata, sejak lima tahun lalu, LTAT telah menyaksikan peningkatan yang ketara dalam prestasi kewangannya.

“Ia berikutan pelbagai usaha yang telah dilakukan bagi mengukuhkan kemampanan dana, termasuk pengimbangan semula portfolio, pengukuhan modal insan dan pengurusan aliran tunai yang berhemah.

“Kami beriltizam untuk terus memberikan prestasi kewangan yang baik dan nilai tambah kepada semua pihak berkepentingan.

“Kesejahteraan sosioekonomi para pencarum akan sentiasa menjadi teras utama kami, memacu setiap keputusan dan inisiatif yang kami lakukan di LTAT,” katanya.

Dividen 2023 akan diagihkan kepada 123,380 pencarum pada hari ini dan pencarum boleh menyemak akaun mereka melalui aplikasi mudah alih MyWIRA atau melayari laman web rasmi LTAT di www.ltat.gov.my. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×