KUALA LUMPUR : Siasatan awal polis mendapati senjata api yang diperoleh lelaki Israel, Shalom Avitan dari negara jiran Thailand dijual kepadanya dengan harga lebih RM10,000 bagi sepucuk pistol.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, polis bagaimanapun tidak dapat mendedahkan kepada umum bagaimana enam pistol diserahkan kepada lelaki berkenaan.
Kata beliau, cara komunikasi antara pembekal iaitu pasangan suami isteri yang ditahan dengan lelaki Israel berusia 38 tahun itu juga turut dirahsiakan.
“Pendedahan maklumat itu secara terperinci dikhuatiri boleh mengganggu proses siasatan yang sedang dijalankan.
“Pada masa ini kita tidak dapat dedahkan bagaimana suspek berhubung dengan pasangan suami isteri terbabit.
“Namun apa yang boleh saya sahkan bahawa mereka sebelum ini tidak mengenali antara satu sama lain sebelum urus niaga pembelian senjata api dijalankan,” katanya dalam sidang akhbar khas di Bukit Aman di sini hari ini.
Razarudin berkata, beliau khuatir sekiranya perkara ini didedahkan, ianya akan merosakkan siasatan.
“Kita juga tidak dapat mendedahkan faktor cara senjata itu diserahkan dan cara pembayaran dibuat kerana turut akan menjejaskan siasatan,” jelasnya.
Dalam pada itu, Razarudin tidak menolak kemungkinan, kelompongan di kawasan pintu masuk sempadan negara di Pantai Timur, menjadi punca senjata api berkenaan mudah lolos sebelum sampai ke tangan lelaki berkenaan.
“PDRM sememangnya sentiasa memperkuatkan kawalan di sempadan pintu masuk negara selain memastikan tiada ketirisan dan masalah penyeludupan kontraban berlaku.
“Namun ada juga kelompongan sehingga berlaku penyeludupan dadah, senjata api dan lain-lain kontraban disebabkan lokasi kedudukan sempadan yang dipisahkan hanya sebatang sungai.
“Selain faktor musim tengkujuh yang mana penyeludup dari Thailand boleh masuk ke negara dengan begitu mudah dan sebaliknya,” katanya. –UTUSAN










