GEORGE TOWN : Kerajaan negeri menerusi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) telah memandulkan 6,046 anjing liar sejak 2017 hingga kini melalui program perangkap, dimandulkan dan melepaskan (TNR).
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, program itu telah berjaya mengurangkan populasi anjing liar yang berkeliaran di tempat-tempat awam selain membendung peningkatan jumlah anjing liar di negeri ini.
“Program TNR ini dilaksanakan dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu International Aid for the Protection and Welfare of Animals (IAPWA). Kita juga melaksanakan polisi tidak membunuh haiwan-haiwan ini.
“Kita tidak memusnahkan anjing liar yang ditangkap melainkan ia sakit (tenat). Kalau sudah dimandulkan, kita akan lepaskan kepada tempat asal kerana anjing merupakan haiwan yang mempunyai kawasan tersendiri,” katanya selepas melancarkan 2nd World Cat Federation Penang International Cat (PIC) Fiesta 2024, di Spice Arena di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Kon Yeow berkata, selepas haiwan-haiwan dimandulkan menerusi program TNR, haiwan tersebut juga akan ditempatkan semula kepada pencinta haiwan yang mahu memelihara mereka.
Kon Yeow berkata, susulan daripada program TNR itu, jumlah anjing liar didapati berkurangan berikutan haiwan-haiwan tersebut telah dimandulkan.
Dalam pada itu, katanya, MBPP masih menerima aduan berhubung kehadiran anjing dan kucing liar khususnya di kawasan Teluk Bahang dan Balik Pulau.
“Orang awam suka meletakkan anjing atau kucing di pasar-pasar awam. Kita faham tujuan mereka adalah untuk memastikan haiwan-haiwan ini mendapat bekalan makanan apabila meletakkannya di pasar-pasar awam.
“Tindakan penguatkuasaan juga akan dijalankan di pasar-pasar awam. Yang pasti, kita tidak tembak, hanya guna jaring sahaja untuk menangkap anjing-anjing liar ini. Kerja-kerja ini bukan mudah,” katanya.-UTUSAN










