IPOH: Larian Antarabangsa Ipoh atau Ipoh International Run (IIR) dianjurkan semula di bandar raya ini selepas tidak diadakan selama tujuh tahun.
Larian separuh marathon itu kali terakhir diadakan pada tahun 2017 dan akan kembali mewarnai penganjuran sukan di Malaysia khususnya bandar raya Ipoh.
Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin menyasarkan penyertaan seramai 5,000 peserta dalam larian yang dijadualkan berlangsung pada 28 Julai nanti.
“Sehingga kini seramai 1, 611 peserta pelbagai kategori dari dalam dan luar negara sudah mendaftar untuk menyertai larian itu termasuk 35 penyertaan negara luar dari China, Singapura, Brunei dan Belanda.
“Kita menyasarkan seramai 5,000 peserta yang akan menyertai larian itu membabitkan 15 kategori yang akan dipertandingkan melibatkan tiga jarak iaitu 21 kilometer, 10 km dan 5 km,” katanya.
Beliau merasmikan pra pelancaran IIR 2024 di Bangunan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) yang turut dihadiri oleh Ketua Whip MBI, Datuk Mazlan Abd Rahman.
Rumaizi menambah, antara kategori yang dipertandingkan termasuk Kategori Terbuka kepada peserta dari dalam dan luar negara dengan larian sejauh 21 km.
“Kategori ini melibatkan peserta lelaki dan wanita berusia 17 tahun ke atas termasuk kategori veteran yang bermula umur 40 tahun ke atas.
“Bagi jarak 10 km pula melibatkan lelaki dan wanita terbuka berumur 15 tahun ke atas dan kategori lelaki veteran (45 tahun ke atas) dan wanita veteran (40 tahun ke atas). Selain itu kategori terbuka kepada pelajar sekolah sejauh 5 km turut diadakan,” katanya.
Rumaizi berkata, pihaknya turut berbangga kerana acara itu kembali mewarnai kalendar penganjuran sukan peringkat antarabangsa di Ipoh sempena Tahun Melawat Perak (TMP) 2024.
“Penganjuran IIR 2024 sangat bertetapan dengan TMP 2024, kerana Perak kini mengalami transformasi begitu rancak dalam pembangunan industri malah kita mensasarkan jangkaan satu juta pelancong luar negara datang ke negeri ini tercapai.
“Tahun lepas bilangan pelancong asing masuk melalui Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) sahaja seramai 298, 000, itu belum yang menggunakan laluan darat yang lain, jadi angka satu juta pelancong luar negara melawat Ipoh tahun ini mampu dicapai,” katanya.
Menurutnya, jumlah keseluruhan hadiah wang tunai pada kejohanan itu berjumlah RM14, 800 dan peserta boleh melakukan pendaftaran yang dibuka sejak 11 Mac lalu di pautan laman sesawang Howei, Raceroster dan Checkpoint Spot untuk makluman lanjut.
IIR 2024 kali ini turut melantik bekas atlet lompat tinggi negara, Loo Kum Zee @ Loh Kum Zee dan bekas bintang lari jarak sederhana Malaysia, Samson Vallabouy sebagai duta. – UTUSAN










