Lapan ditahan import ganja guna kurier - Utusan Malaysia

Lapan ditahan import ganja guna kurier

RUSDI Mohd. Isa ketika sidang akhbar rampasan dadah di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras di sini hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tindakan satu sindiket pengedaran dadah di ibu negara ‘mengimport’ ganja daripada negara jiran sehingga 100 kilogram (kg) seminggu dengan menggunakan perkhidmatan kurier terbongkar selepas lapan suspek termasuk dua wanita ditahan.

Penahanan kesemua suspek dilakukan dalam enam serbuan berasingan sekitar ibu negara pada Khamis lalu dan semalam.

Menerusi serbuan itu, polis turut merampas keseluruhan 94.8kg ganja dianggarkan bernilai RM293,830.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa, berkata, siasatan mendapati sindiket ini membuat pesanan ganja daripada pembekal di negara jiran menerusi aplikasi Telegram.

Menurut beliau, sindiket ini didapati membuat pesanan ganja antara 30kg hingga 100kg seminggu dengan bayaran antara RM800 hingga RM1,000 sekilogram bergantung kepada gred dan dadah diseludup masuk ke negara ini dengan perkhidmatan kurier.

“Sindiket ini menjual semula ganja berkenaan dalam pelbagai bentuk dan berat kepada pembeli termasuk dalam bentuk kek ‘brownie’.

“Pesanan akan dihantar kepada pelanggan menggunakan syarikat kurier tempatan selain menggunakan beberapa ‘runner’ untuk menghantar dadah itu ke syarikat kurier terlibat.

“Penghantaran itu dilakukan ke seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras di sini hari ini.

Menurut beliau, siasatan mendapati sindiket aktif sejak dua tahun lalu dan menyewa kondominium mewah dikawal pengawal keselamatan sebagai tempat memproses dan menyimpan dadah bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

Kata beliau, menerusi serbuan itu juga, kita turut merampas beberapa pakej makanan arnab.

“Kita percaya antara modus sindiket ini antaranya mengirim dadah dalam bungkusan makanan arnab untuk mengaburi syarikat kurier dan pihak berkuasa.

“Siasatan turut mendapati kesemua suspek berusia antara 24 hingga 42 tahun itu tiada pekerjaan tetap dan menjadikan pengedaran dadah sebagai punca pendapatan utama,” jelasnya.

Beliau berkata, pihaknya juga sedang mengesan saki baki ahli sindiket itu yang masih bebas.

Rusdi berkata, wang tunai berjumlah RM34,000, sebuah motosikal serta pelbagai peralatan dipercayai digunakan untuk membungkus dadah turut dirampas dalam serbuan itu.

“Lima suspek kini direman tujuh hari sehingga 29 April ini manakala tiga lagi suspek terpaksa dibebaskan kerana polis tidak berjaya membuat permohonan reman ke atas mereka.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan siasatan lanjut masih dijalankan termasuk modus operandi ganja itu diseludup masuk ke negara ini,” katanya.

Tambah beliau, semakan mendapati tiga suspek mempunyai rekod lampau berkait kesalahan dadah dan jenayah, selain dua suspek didapati positif dadah jenis ganja. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya