Kupang beracun: Perikanan Selangor mula pencegahan

Kupang beracun: Perikanan Selangor mula pencegahan

Patin Siam
NORAISYAH ABU BAKAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Jabatan Perikanan Selangor akan berhubung de­ngan penternak kupang yang berdepan masalah ternakan beracun di Port Dickson, Negeri Sembilan bagi memastikan situasi tersebut tidak merebak ke negeri ini.

Pengarahnya, Noraisyah Abu Bakar berkata, beliau juga akan membuat semakan lanjut de­ngan penyelidik jabatannya bagi mengenal pasti risiko penye­baran biotoksin melalui perairan untuk mengelak kebimbangan dalam kalangan orang awam.

“Kita berhubung dengan pen­ternak untuk memantau da­ri semasa ke semasa supaya dapat mengambil tindakan se­gera sekiranya timbul isu-isu se­demikian di negeri ini. Kita juga rujuk dengan penyelidik jika terdapat risiko penyebaran melalui arus di perairan Negeri Sembilan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Bagaimanapun, tiada ulasan lanjut dapat diberikan, namun isu biotoksin pernah berlaku di Selangor, tetapi tidak sampai memudaratkan atau mendatangkan bahaya kepada pengguna,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Terdahulu, ternakan kupang dekat perairan Port Dickson dilaporkan tidak selamat untuk dimakan apabila terdapat alga berbahaya dan biotoksin dikesan pada makanan laut tersebut.

Antara faktor kepada masalah tersebut dikenal pasti berpunca daripada cuaca panas yang membantu pembiakan dengan cepat alga berbahaya seperti spesies Prorocentrum, Alexandrium dan Pesudonitzschia.

Bagaimanapun, keadaan itu tidak mencetuskan bahaya kepada hidupan laut lain seperti ketam, udang, ikan dan sebagainya.

Dalam pada itu, Pengerusi Per­satuan Nelayan Selangor, Omar Abdul Rahman ketika dihubungi meminta penternak-penternak kupang atau kerang di negeri ini supaya berwaspada dan melaporkan kepada Jabatan Perikanan jika mengesan kelai­nan pada ternakan mereka.

“Setakat ini belum ada aduan diterima daripada penternak, cuma masalah yang dihadapi di Selangor adalah pencemaran datang dari sungai-sungai terutama Sungai Buloh yang menyebabkan benih kupang itu mati.

“Belum membesar pun sudah mati, jadi tak ada isu keracunan kepada pengguna sebaliknya menjejaskan hasil ternakan dan pendapatan penternak. Ba­gaimanapun, saya memohon Jabatan Perikanan membuat pemantauan dari semasa ke semasa,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini