PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mengingatkan semua pihak termasuk KK Mart supaya lebih berhati-hati terhadap produk yang dijual bagi mengelak isu seperti jualan stoking tertera kalimah Allah berulang pada masa akan datang.
Titah Seri Paduka, semua pihak mesti lebih bertanggungjawab dan berharap ia kali terakhir berlaku.
“Semua pihak mesti lebih bertanggungjawab. Jangan pisang berbuah dua kali dan saya harap ini kali terakhir saya perlu menegaskan perkara ini.
“Sekali lagi, saya tegaskan jangan ada pihak yang mengambil kesempatan ke atas perkara ini, termasuk menghasut rakyat. Saya tidak mahu perkara ini berlarutan,” titah Seri Paduka Baginda kepada Royal Press Office (RPO).
Terdahulu, Sultan Ibrahim berkenan menerima mengadap Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan KK Supermart & Superstore Sdn Bhd, Datuk Seri Dr Chai Kee Kan yang berlangsung selama 15 minit di Istana Negara hari ini.
Pada sesi menghadap itu, Kee Kan memohon ampun dan maaf kepada Seri Paduka serta seluruh umat Islam berhubung isu penjualan stoking yang tertera kalimah ‘Allah’ di beberapa cawangan kedai serbaneka itu.
Minggu lalu, Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan KK Mart itu didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam di atas tuduhan sengaja berniat melukakan perasaan orang Islam dengan mempamerkan stoking bercetak kalimah Allah.
Stoking itu dipamerkan di rak pameran jualan pasar raya berkenaan yang telah dilihat oleh seorang lelaki berusia 32 tahun.
Beliau didakwa melakukan perbuatan itu pada 13 Mac lalu kira-kira pukul 6.30 pagi di KK Supermart & Superstore Sdn. Bhd. (KK Mart) beralamat di No. 45, Jalan PJS 11/7, Bandar Sunway.
Keen Kan, 57, didakwa telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan.
Sabit kesalahan, beliau boleh dipenjara maksimum setahun atau dengan denda atau kedua-duanya.
Turut didakwa ialah isteri beliau, Datin Seri Loh Siew Mui, 53, dan tiga pengarah yang juga pemilik syarikat pengedar stoking berkenaan iaitu Goh Li Huay, Soh Hui San dan Soh Chin Huat. – UTUSAN










