KANGAR: Sebuah kereta jenis Honda City yang terbabas membawa kepada penemuan sebanyak 56 kilogram ganja dianggarkan bernilai RM173,600 di kawasan Kebun Harumanis Bukit Chabang, Khamis lalu.
Sebelum itu, sepasukan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang melakukan risikan mengejar dua individu lelaki yang menaiki kereta tersebut selepas berada dalam keadaan mencurigakan namun berjaya meloloskan diri.
Ia adalah hasil daripada pemantauan PGA menerusi kamera litar tertutup (CCTV) di laluan pagar keselamatan Padang Besar.
Ketua Polis negeri, Datuk Muhammad Abdul Halim berkata, sekitar pukul 8.50 pagi, Unit Kereta Peronda telah menerima panggilan dari bilik gerakan berhubung sebuah kenderaan jenis sama yang dilaporkan terbabas di kawasan Kebun Harumanis Bukit Chabang.
“Kita percaya suspek berkenaan telah terbabas sewaktu meloloskan diri dan kemudian meninggalkan kenderaan itu dalam keadaan kelam-kabut.
“Hasil pemeriksaan di dalam kereta berkenaan menemukan tiga guni yang mana di dalamnya terdapat 56 bungkusan disyaki dadah jenis ganja seberat 56 kilogram bernilai RM173,600,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis hari ini.
Tambah Muhammad, siasatan awal mendapati kereta tersebut ditinggalkan suspek dan tiada pemandu dikesan berada di lokasi berkenaan bersama ketulan mampat ganja tersebut.
Katanya, kereta yang digunakan suspek juga adalah merupakan kenderaan sewa dan siasatan lanjut masih dijalankan buat masa ini.
“Lokasi penemuan kereta itu adalah di kawasan Bukit Chabang yang terletak kira-kira 10 kilometer dari kawasan sempadan di mana suspek mengambil bungkusan dadah tersebut,” katanya.
Dalam pada itu, Muhammad berkata, jumlah rampasan ganja berkenaan dianggarkan dapat menampung kegunaan lebih 200,000 penagih.
Katanya, semua bungkusan ganja berkenaan juga dipercayai cuba diseludup untuk pasaran di Selatan Malaysia.
“Perlis merupakan lokasi transit buat penjenayah ini untuk menyeludup ganja sebelum dipasarkan ke kawasan Selatan Malaysia,” katanya.
Tambahnya, polis juga tidak menemui sebarang identiti suspek di dalam kenderaan tersebut dan pihaknya sedang berusaha bagi memburu penjenayah terlibat.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan siasatan lanjut sedang dijalankan buat masa ini,” katanya. -UTUSAN










