PETALING JAYA: Enam perayaan yang disambut dalam minggu ini di Malaysia menunjukkan kepelbagaian sebagai nilai dan aset terbesar negara.
Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang berkata, perpaduan dan kepelbagaian kaum, budaya serta kepercayaan agama di negara ini adalah aset penting yang perlu dipelihara serta dipertahankan oleh rakyat.
“Ramai mesti tidak tahu, minggu ini sahaja terdapat enam perayaan telah disambut di negara ini. Kepelbagaian di Malaysia adalah aset terbesar dan bernilai kepada kita semua.
“Hanya di negara ini kita menyambut pelbagai perayaan. Minggu ini sahaja Hari Raya Aidilfitri, Ugadi, Tahun Baharu Tamil, Vaisakhi, Hari Vishu dan Songkran,” katanya menerusi akaun X milik beliau.
Beliau turut berkongsi gambar masyarakat pelbagai latar belakang yang menyambut perayaan masing-masing.
Tambah Aaron, masyarakat perlu bersama-sama dalam mengukuhkan perpaduan melalui perayaan.
“Ayuh kukuhkan perpaduan melalui perayaan. Kita boleh lakukan,” katanya. –UTUSAN










