Kenaikan gaji: Umum dan laksana segera – CUEPACS

Kenaikan gaji: Umum dan laksana segera – CUEPACS

ABDUL RAHMAN MOHD. NORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kenaikan gaji minimum penjawat awam sehingga RM1,800 merupakan antara harapan utama Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) dalam pengumuman Perdana Menteri pada 1 Mei ini.

Selain tuntutan gaji minimum RM1,800, CUEPACS sebelum ini merayu kerajaan melaksanakan segera tuntutan menaikkan dua tahap Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) dan sistem saraan baharu menggantikan Sistem Saraan Malaysia (SSM).

Setiausaha Agung CUEPACS, Abdul Rahman Mohd. Nordin berkata, pihaknya berharap penantian selama 22 tahun itu akan membuahkan hasil ekoran gaji minimum kakita­ngan kerajaan masih rendah jika dibandingkan sektor swasta yang menyaksikan peningkatan sehingga RM1,500.

Katanya, pengumuman penting itu amat dinantikan oleh 1.6 juta penjawat awam yang kini berhadapan kenaikan kos sara hidup di samping mengambil kira pendapatan semasa penjawat awam yang dilihat tidak mencukupi untuk menampung keperluan seha­rian.

“Sebelum ini kerajaan berjanji untuk mengumumkan pada Oktober nanti (Belanjawan 2024) tetapi kali ini pula diawalkan pada sambutan Hari Pekerja 1 Mei nanti. Lagi cepat, lagi bagus, tidaklah kami penjawat awam ternanti-nanti.

“Soal menaik taraf kehidupan perlu disegerakan dan tidak boleh dilengahkan, seperti saya sebut tadi semua penjawat awam terkesan dengan kenaikan harga barangan,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

Kelmarin, Perdana Menteri memaklumkan kerajaan dijangka mengumumkan cada­ngan penambahbaikan terma­suk usaha meningkatkan kadar pendapatan bersih penjawat awam pada perhimpunan 1 Mei ini bersempena dengan Hari Pekerja.

Kata Datuk Seri Anwar Ibrahim, penambahbaikan kepada struktur gaji penjawat awam hampir selesai dan akan dibawa kepada mesyuarat Jemaah Menteri untuk dimuktamadkan.

Mengulas lanjut, Abdul Rahman berkata, pengumuman itu nanti bukan sahaja melegakan bebanan seluruh penjawat awam, malah dapat meningkatkan produktiviti mereka selaku tunggak utama pentadbiran negara.

Beliau berkata, SSM sedia ada telah dilaksanakan sejak kira-kira 20 tahun dan dilihat tidak sesuai dengan situasi dialami penjawat awam pada masa kini.

“Meskipun Perdana Menteri akan mengumumkan pada 1 Mei, tapi kami mahu pelaksanaannya disegerakan bukannya dikhabarkan pada tahun depan.

“Kami faham kerajaan begitu komited untuk meningkatkan aspek kebajikan penjawat awam, tetapi tuntutan ini perlulah disegerakan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN