PETALING JAYA: Pakatan Harapan (PH) tidak perlu buat serangan peribadi terhadap calon Perikatan Nasional (PN), Khairul Azhari Suat, terutama ijazah yang dimilikinya.
Ahli akademik, Dr. Mohd. Ridhuan Tee dalam akaun Facebooknya berkata, PH telah serlahkan kejahilan mereka apabila menyerang universiti yang mengeluarkan ijazah tersebut kepada Khairul Azhari iaitu Universiti Malaysia Pahang (UMP).
“Apa itu eksekutif program? Apa itu program akademik? Program eksekutif merupakan saluran pendidikan alternatif bagi mereka yang tidak memenuhi syarat untuk Program Perdana namun mempunyai pengalaman kerja dan ingin meningkatkan taraf pendidikan.
“Melalui program seumpama ini, pemain industri layak diberi peluang untuk meningkatkan kompetensi, kerjaya dan pendapatan.
“Malah program ini juga berjaya memupuk budaya Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) dalam kalangan pemain industri di Malaysia,” katanya.
Sebelum ini, tular dakwaan di media sosial mempersoalkan kelayakan akademik pemangku Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Hulu Selangor itu di mana beliau mempunyai ijazah sarjana tanpa dianugerahkan ijazah sarjana muda.
Khairul Azhari berkata, beliau ingin fokus kepada strategi dan kempen dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu.
“Saya tidak mahu komen tentang dakwaan itu. Saya nak fokus pilihan raya. Saya akan jawab kemudian,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd. Ridhuan berkata, ijazah yang diperoleh Khairul Azhari adalah diiktiraf.
“Sepatutnya UMP dan universiti awam lain segera mengeluarkan kenyataan. Jangan turut sama berpolitik…haram,” katanya.
Menurutnya, ramai pegawai tentera dan polis, termasuk panglima-panglima, tidak ketinggalan, bekas Naib Canselor Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) tidak ada ijazah asas (first degree). Hanya ada diploma.
“Mereka terus ‘melompat’ membuat ijazah sarjana eksekutif daripada universiti awam dan juga universiti luar negara. Jika tidak diiktiraf, bagaimana mereka boleh jadi Naib Canselor, sedangkan jawatan itu adalah jawatan ‘paling tinggi’ di universiti awam.
“Sepatutnya calon PN tidak perlu malu apabila ditanya wartawan berkenaan akademiknya. Jawab saja ini program UMP yang diiktiraf kerajaan.
“Menghina ijazah bermakna menghina universiti dan seluruh kakitangan universiti, terutama canselor, naib canselor, timbalan-timbalan dan seluruh universiti terbabit. Boleh buat laporan polis,” katanya. – UTUSAN










