KUALA LUMPUR: Kekayaan 50 individu terkaya di Malaysia dalam senarai 2024 Forbes Malaysia Rich List meningkat sebanyak 2 peratus kepada AS$83.4 bilion (RM398.8 bilion), menurut Forbes Asia.
Pengasas Kuok Group, Tan Sri Robert Kuok kekal sebagai individu paling kaya di negara ini dengan nilai bersih kekayaan beliau berjumlah AS$11.5 billion (RM56 billion).
Laporan itu menyebut, Kuok memulakan perniagaan dengan menguruskan jual beli gula, beras dan tepung gandum sebelum syarikatnya menjadi sebuah konglomerat yang berkembang maju.
Sementara itu, Tan Sri Quek Leng Chan yang juga Pengerusi Eksekutif Hong Leong Co. (Malaysia), di tempat kedua dengan nilai kekayaan berjumlah AS$8.8 billion (RM43 billion), menurun daripada AS$10.2 billion tahun sebelumnya.
“Kedudukan lima teratas menyaksikan beberapa perubahan, dengan adik-beradik Teh, yang mewarisi kepentingan dalam Public Bank daripada mendiang bapa mereka Tan Sri Teh Hong Piow, meningkatkan sedikit kekayaan dengan naik ke tempat ketiga dengan nilai bersih AS$5.4 bilion (RM26 billion).
“Sementara itu, keuntungan syarikat hartanah, IOI Corp yang ketara melonjakkan kekayaan adik beradik, Datuk Lee Yeow Chor dan Yeow Seng ke kelompok lima teratas buat kali pertama iaitu di tempat keempat dengan kekayaan gabungan berjumlah AS$5.35 bilion (RM25.5 billion),” kata laporan itu.
Selain itu, menurut laporan tersebut, peningkatan paling ketara dalam senarai itu ialah Pengerusi YTL, Tan Sri Francis Yeoh dan adik-beradiknya yang mengalami peningkatan terbesar dalam kedua-dua nilai dolar dan terma peratusan dengan nilai kekayaan melonjak kepada AS$4.7 bilion (RM22.6 billion).
Lonjakan kekayaan boleh dikaitkan dengan kejayaan syarikat YTL, yang telah bekerjasama dengan gergasi teknologi Amerika Syarikat, Nvidia.
Senarai itu juga mengalu-alukan empat pendatang baharu, termasuk dua waris daripada keluarga Chen yang menduduki tempat ke-18 dan keluarga Gnanalingam yang menduduki tempat ke-12 selepas mewarisi kekayaan daripada Tan Sri G. Gnanalingam, Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Westports Holdings Berhad yang meninggal dunia pada Julai tahun lalu.
Menurut Forbes Asia, nilai bersih minimum untuk melayakkan diri ke senarai itu ialah AS$320 juta (RM 1.53 billion), meningkat daripada AS$315 juta (RM 1.50 Billion) pada 2023.
Senarai 10 individu terkaya di Malaysia:
Robert Kuok: AS$11.5 billion (RM56 billion)
Quek Leng Chan: AS$8.8 billion (RM43 billion)
Adik beradik Teh: AS$5.4 billion (RM26 billion)
Lee Yeow Chor dan Yeow Seng: AS$5.35 billion (RM25.5 billion)
Koon Poh Keong dan adik-beradik: AS$5.3 billion (25.4 billion)
Ananda Krishnan: AS$4.8 billion (23 billion)
Tan Sri Francis Yeoh dan adik-beradik: AS$4.7 billion (RM22.6 billion)
Tan Sri Jeffrey Cheah: AS$2.4 billion ( RM11.5 billion)
Tan Sri Lim Kok Thay: AS$2.2 billion (RM 10.5 billion)
Chia Song Kun: AS$1.8 billion (RM 8.6 billion)







