Kebolehpasaran pelajar pendidikan khas di Perlis cecah 94.23 peratus - Utusan Malaysia

Kebolehpasaran pelajar pendidikan khas di Perlis cecah 94.23 peratus

Pix RODIAH Idris (dua dari kanan) pada Karnival Kebolehpasaran MBPK di Sekolah Kebangsaan (SK) Pendidikan Khas Perlis di Kangar, Perlis hari ini.- UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Kebolehpasaran murid berkeperluan pendidikan khas (MBPK) di negeri ini mencecah sehingga 94.23 peratus tahun lalu sekali gus merekodkan yang kedua tertinggi di negara ini.

Ia menunjukkan peningkatan berbanding 2022 iaitu 92 peratus tahap kebolehpasaran itu dan secara tidak langsung ia juga melebihi sasaran yang ditetapkan iaitu 65 peratus.

Kebolehpasaran MBPK merupakan salah satu Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan di peringkat kebangsaan dan negeri dengan kebolehpasaran MBPK itu merangkumi pelajar yang menyambung pengajian, bekerja sendiri atau bekerja dengan majikan.

Pengarah Bahagian Pendidikan Khas Kementerian Pendidikan, Dr. Rodiah Idris ketika berucap merasmikan Karnival Kebolehpasaran MBPK di Sekolah Kebangsaan (SK) Pendidikan Khas Perlis di sini berkata, kebolehpasaran MBPK perlu dipandang lebih serius dalam konteks kesinambungan terhadap pendidikan yang diterima semasa berada di alam persekolahan.

Katanya, kebolehpasaran MBPK mencerminkan tahap kebolehkerjaan mereka dalam pasaran kerja dan pihak berkepentingan yang ada pada karnival ini juga wajar untuk melihat MBPK sebagai tenaga kerja pilihan utama dalam sesebuah organisasi yang seimbang.

“Kementerian pada dasarnya telah menyediakan pendidikan yang berkualiti setaraf dengan pendidikan di negara maju terutama dalam menyediakan MBPK ke alam pekerjaan,” katanya.

Hadir sama pada karnival berkenaan, Pengarah Pendidikan negeri, Rose Aza Che Arifin; dan Ketua Penolong Pengarah, Sektor Pendidikan Khas Jabatan Pendidikan negeri, Saad Haron.

Karnival dua hari yang julung kali diadakan anjuran Jabatan Pendidikan negeri di bawah Sektor Pendidikan Khas itu menampilkan sebanyak 16 agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pihak swasta dengan turut diadakan sesi temu duga pengambilan pekerja oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dalam kalangan MBPK.

Antara syarikat-syarikat yang ada bagi menawarkan peluang pekerjaan tersebut adalah seperti Aza Car Wash, Sayiddah Enterprise, Super Fruit Valley, Fast SPA Car Wash, Restoran Anjung Keli, Olumis Refleksologi dan Asputra Seafood.

Dalam pada itu, bercakap kepada Utusan Malaysia, Saad berkata, karnival berkenaan memberi pendedahan kepada pelajar berkeperluan khas dari seluruh negeri ini yang membabitkan lebih 1,400 pelajar terdiri dari 12 sekolah menengah dan 20 sekolah rendah.

Katanya, ia juga membuka ruang kepada pelajar-pelajar ini sama ada untuk menyambung pelajaran khususnya seperti di Kolej Komuniti, Politeknik, Giat Mara atau terus bekerja.

“Para pelajar ini sememangnya sangat berpotensi namun sebelum ini kurang pendedahan dan karnival seperti ini berupaya membantu mereka,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya