PETALING JAYA: Kaunter zakat Pusat Pungutan Zakat – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) dibuka hingga hari terakhir Ramadan bagi memberi ruang dan kesempatan kepada umat Islam menunaikan ibadah tersebut sebelum Hari Raya Aidilfitri.
PPZ-MAIWP dalam kenyataan berkata, waktu operasi kaunter pada 8 April ini bermula pukul 8.15 pagi hingga 4.30 petang manakala 9 April kaunter beroperasi dari pukul 8.15 pagi sehingga 1 tengah hari.
“Bagi mereka yang tidak berkesempatan untuk berkunjung ke kaunter, bayaran zakat boleh dibuat secara dalam talian melalui pautan iaitu fitrah.zakat.com.my dan www.zakat.com.my.
“Selain portal PPZ-MAIWP, pembayar juga boleh menunaikan zakat secara dalam talian melalui perbankan internet atau aplikasi seperti Shopee, Raiz, GoPayz, MyeG dan sebagainya.
“Kaunter PPZ-MAIWP akan dibuka semula pada 12 April seperti biasa dari pukul 8.15 pagi hingga 4.45 petang,” kata kenyataan itu.
Sementara itu, PPZ-MAIWP mengucapkan selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri kepada semua pembayar zakat.
“Dalam kita gembira menyambut Aidilfitri, jangan dilupakan mereka yang kurang berkemampuan.
“Terima kasih diucapkan kepada para pembayar zakat di Wilayah Persekutuan atas bayaran zakat yang konsisten demi pembangunan asnaf,” ujarnya.- UTUSAN










