Kastam gagalkan cubaan seludup 15 Yamaha RXZ dari Thailand

Kastam gagalkan cubaan seludup 15 Yamaha RXZ dari Thailand

RIBUAN Abdullah melihat laporan selepas sidang akhbar di JKDM Putrajaya. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) setakat ini menumpaskan 15 kes cubaan seludup motosikal Yamaha RXZ melalui sempadan Malaysia – Thailand sejak akhir tahun lalu.

Penolong Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan) Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Ribuan Abdullah berkata, pihaknya mendapati cubaan seludup itu mula dikesan sejak dua tahun lalu dan ia meningkat ketara sejak akhir tahun lalu.

Beliau berkata, motosikal yang cuba diseludup itu telah dibaik pulih di Thailand sebelum dibawa ke negara ini menerusi jalan darat, dibawa menaiki lori dan menaiki sampan menerusi Sungai Golok.

“Di Thailand, model lama motosikal ini dibaik pulih dan ia menjadi rebutan di Malaysia kerana harganya boleh mencecah sehingga RM15,000 seunit.

“Kebanyakan kes penyeludupan motosikal ini membabitkan peminat-peminat tegar motosikal antik,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Katanya, motosikal yang dirampas ini kemudian akan dilelong pihaknya dengan harga bidaan bermula RM7,000 seunit.

Jelasnya lagi, pihaknya tidak menolak kemungkinan penganjuran beberapa siri himpunan motosikal jenis Yamaha RXZ mendorong kepada peningkatan aktiviti penyeludupan model berkenaan dari negara jiran.

Ribuan berkata, pihaknya ingin menasihatkan sesiapa yang berhajat untuk mengimport kenderaan supaya mendapatkan permit daripada Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) terlebih dahulu.

Motosikal diklasifikasikan sebagai barangan import yang tertakluk di bawah Jadual Kedua, Bahagian II, Butiran 7, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023.

Sementara itu, katanya, selain motosikal, pihaknya turut merampas kereta mewah dari jenama Toyota termasuk Vellfire, Alphard dan Mercedes yang cuba diseludup tanpa permit import. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×