PEMINAT tidak boleh menidakkan impak lagu Aku Cinta Padamu yang menjulang nama Datuk Seri Siti Nurhaliza pada tahun 1997. Lagu tersebut antara yang melonjakkan penyanyi tersohor berkenaan sehingga beliau menjadi sebutan bukan sahaja di Malaysia, malah Indonesia.
Tentu Siti Nurhaliza hari ini masih tidak melupakan jasa pasangan suami isteri, L.Y dan Baiduri atau nama sebenar mereka, Rozman Shafie dan Norkhayati Mohd. Hashim yang menciptakan lagu itu untuknya.
Besar sumbangan dua figura ini kepada dunia seni tanah air. Kebolehan mencipta lagu yang baik dan bersifat malar segar tidak perlu pembuktian lagi. Semua itu mereka buktikan sepanjang lebih 37 tahun pembabitan dalam dunia muzik tanah air dan serantau Asia.
Sepanjang lebih tiga dekad, pelbagai kejayaan manis direkodkan pasangan suami isteri ini menerusi penghasilan lagu-lagu yang mendapat tempat di hati pendengar.
Bertitik tolak kejuaraan Anugerah Pujaan Sepuluh Nescafe menerusi lagu Bayangan Gurauan nyanyian kumpulan Mega pada 1993, dua anak jati Johor Bahru ini tidak lagi menoleh ke belakang.
Satu persatu pencapaian diraih mereka antaranya menerusi lagu Aku Cinta Padamu yang menjuarai kategori Balada pada Anugerah Juara Lagu (AJL) 1997 selain menjuarai AJL ke-28 menerusi lagu Bahagiamu Deritaku nyanyian Hafiz Suip.
Selain Aku Cinta Padamu, Mereka juga mencipta nama di Indonesia dengan lagu berjudul Mengapa pada 1995, dan Kau (1998) yang dinyanyikan Nicky Astria.
Kalau ingin disenaraikan, terlalu banyak kejayaan yang dimiliki pasangan ini dalam kerjaya yang mereka ceburi.

Namun di sebalik itu, tersimpan rasa kecewa yang dipendam L.Y Baiduri. Terbit sekelumit kekesalan apabila masih ramai komposer dan penulis lirik di negara yang nasib mereka tidak dipandang, seolah-olah dipinggirkan meskipun hakikatnya mereka juga berada dalam ekosistem yang sama dengan penyanyi dan pemuzik.
“Komposer, penulis lirik dan penyanyi ibarat aur dengan tebing. Tetapi saya terkilan kerana pencipta lagu sering dipinggirkan dan tak ramai berminat untuk memperjuangkan nasib kami hanya disebabkan kami ini bekerja di belakang tabir.
“Saya kenal ramai komposer dan penulis lirik yang hidupnya susah, jadi saya terpanggil untuk bercakap bagi pihak mereka, yang hanya ‘mencari makan’ dengan mencipta lagu dan menulis lirik. Dan mereka ini bukan penyanyi.
“Penyanyi atau pemuzik dibayar membuat persembahan dan peluang mereka terbuka luas. Bagi komposer dan penulis lirik pula, punca pendapatan hanyalah menerusi lagu-lagu yang kami hasilkan. Sekadar mengharapkan kepada jualan lagu semata-mata. Kalau lagu kami popular, dapatlah rezeki lebih. Kalau tidak, tak adalah. Nak berharap pada bayaran royalti, adalah satu tahun sekali.
“Bila menjadi orang belakang tabir, berjaya atau tidak, susah atau senang, tak ada siapa yang berminat nak ambil peduli. Kami juga mengharapkan peluang sama seperti penyanyi dan pemuzik. Janganlah pinggirkan kami,” kata L.Y.
L.Y turut berharap agar orang industri dan masyarakat tidak menganaktirikan komposer mahupun penulis lirik yang juga banyak berjasa dalam membangunkan industri muzik tanah air.
“Ya, kami pekerja belakang tabir. Tetapi kami juga layak menerima perhatian sebagaimana yang diterima mereka yang berada di hadapan.
“Kami juga berperanan kerana banyak lagu yang kami hasilkan membantu melonjakkan nama seseorang penyanyi, bukan sahaja di dalam, tetapi juga di luar negara,” tambahnya.

DARI GURU BAHASA KEPADA PENCIPTA LAGU
BERKONGSI tentang pembabitan dalam bidang penciptaan lagu, L.Y memaklumkan dia dan isterinya bermula tanpa memiliki sebarang asas dalam bidang muzik.
“Saya sebelum ini berkhidmat sebagai guru subjek Pengajian Melayu dan Pendidikan Seni kemudian menyertai Kementerian Pendidikan selama berbelas tahun.
“Selepas itu saya menyambung pelajaran ke peringkat sarjana muda dalam bidang seni di Universiti Teknologi Mara (UiTM) sebelum ke peringkat sarjana dalam bidang terapi seni di Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI).
“Isteri saya pula merupakan lulusan Public Administration and Law di UiTM. Kami berdua tiada asas muzik, cuma minat menulis dan suka membaca novel,” katanya.
Antara lagu terawal dihasilkan L.Y adalah 1511 yang dinyanyikan kumpulan Bumiputra Rockers.
Kemudian L.Y melakukan percubaan kedua dengan menghasilkan Puteri Nastasea yang disekat daripada diperdengarkan kepada umum kerana tidak memenuhi standard yang ditetapkan badan penapis lagu pada ketika itu.
“Saya tidak patah semangat ketika itu, saya katakan satu lagu saya digam, 10 lagi saya hasilkan.
“Ternyata percubaan seterusnya menerusi lagu Bayangan Gurauan yang dipopularkan kumpulan Mega membuahkan hasil apabila lagu itu menjuarai Pujaan Sepuluh Nescafe,” kongsinya.

Ketiadaan asas dalam bidang muzik tidak menghalang L.Y untuk menjadi seorang pemuzik. Bahkan beliau sanggup berdepan persepsi negatif masyarakat hanya kerana bercampur dan belajar asas bermain gitar daripada golongan penagih dadah.
“Ramai dalam kalangan mereka yang hebat bermain gitar. Jadi, saya bercampur dengan golongan ini untuk belajar bermain alat muzik tersebut.
“Ketika itu ramai yang beranggapan saya mengambil bahan terlarang hanya disebabkan saya bercampur dengan golongan berkenaan. Walhal saya hanya mahu belajar bermain gitar dari mereka.
“Hari ini Insya-Allah saya boleh bermain gitar dan piano serta menghasilkan lagu hanya dengan mendengar melodi,” kongsinya.
Bagi Baiduri pula, pembabitan awal dalam penulisan lirik merupakan proses yang mencabar. Namun katanya proses tersebut menjadi mudah dengan bimbingan suami.
“Pada permulaan agak sukar (tulis lirik). Tetapi suami yang saya anggap sebagai mentor akan akan lebih awal siapkan pembayang dalam setiap lagu yang kami hasilkan. Cuma tinggal lagi untuk saya sambung dan selesaikannya.
“Saya bermula kosong dan melalui proses tertentu. Dalam proses menghasilkan lirik memang memerlukan ketelitian membabitkan penggunaan kamus bahasa. Suami pula akan perkemaskan setiap lagu yang kami hasilkan bersama sehinggalah lagu itu dinyanyikan,” kongsinya.

AMALAN BERKUMPUL SATU KELUARGA
SEPANJANG perbualan kami, sempat juga saya tanyakan perihal sambutan Hari Raya Aidilfitri pasangan yang dikurniakan lima orang anak ini.
Kata Baiduri, meskipun tiga anak mereka sudah berkahwin, tradisi berkumpul satu keluarga masih terus mereka amalkan sehingga ke hari ini.
“Tahun ini kami berhari raya di Shah Alam, Selangor. Selalunya, pada malam raya, anak-anak yang sudah berkahwin akan sediakan juadah hari raya yang dipaketkan untuk kami sebelum mereka pulang berhari raya di kampung halaman pasangan masing-masing. Dan kami sekeluarga akan berkumpul semula pada hari raya ketiga.
“Suasana menyambut Aidilfitri sekarang memang tak sama seperti dahulu. Namun kami masih mengekalkan tradisi berkumpul satu keluarga dan memakai pakaian sedondon yang diuruskan anak perempuan kami,” kongsinya.
Bercerita tentang kenangan menyambut Syawal, kata L.Y antara yang tidak dapat dilupakannya adalah berulang alik antara rumahnya dan isteri di Larkin, Johor Bahru bagi menyambut kunjungan saudara mara.
“Saya dan isteri sejak sebelum berkahwin lagi memang tinggal berdekatan. Jarak kediaman kami sekitar tujuh kilometer. Jadi selepas mendirikan rumah tangga setiap kali hari raya, kami berulang alik dari rumah saya ke rumahnya menyambut saudara mara kami .
“Keadaan itu berlarutan sampai ke malam selama tiga hari berturut-turut. Walaupun meletihkan, ia tetap menyeronokan Keadaan itu bagaimanapun tidak lagi berlaku sekarang,” katanya.
LANTIK PUBLISHER BERKREDIBILITI
MENGULAS tentang perlindungan hak cipta terhadap karya yang mereka hasilkan, L.Y Baiduri mengambil langkah bijak dengan melantik publisher yang berkredibiliti.
Kata mereka, langkah itu penting bagi melindungi lagu-lagu mereka daripada sewenang-wenang dicuri individu yang tidak bertanggungjawab.
“Sebab itu, kami tak risau apabila ada orang Indonesia yang claimed lagu Betapa Ku Cinta Padamu, Mengapa dan Bahagiamu Deritaku milik mereka. Dari sudut perundangan, kami jelas pencipta yang sah.
“Saya dan isteri sudah biasa melihat perbalahan di media sosial mengenai hak pemilikan lagu-lagu kami.
“Kami anggap ia satu kepuasan, tiada sedikit pun marah atau terkilan. Kami terima kerana menerusinya orang tahu kewujudan kami,” jelas L.Y.










