PETALING JAYA: Pas menafikan dakwaan Majlis Perundingan Agama, Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao Malaysia (MCCBCHST) cadangan pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355 sebagai tidak berperlembagaan.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, percanggahan atau polemik undang-undang yang dibangkitkan badan itu tidak berkaitan dengan kedudukan dan peranannya sebagai majlis perundingan agama.
Katanya, MCCBCHST tidak menunjukkan bukti bagaimana pentadbiran atau pindaan dalam undang-undang Islam boleh memberi kesan ke atas agama atau amalan agama-agama bukan Islam di negara ini.
Sehubungan itu, beliau mempersoal sekiranya MCCBCHST mahu menjadi penyibuk atau ‘hantu orang tengah’ berkaitan isu tersebut, kerana perbuatan itu hanya menimbulkan kecurigaan terhadap niat dan motif sebenarnya sekali gus menimbulkan suasana tidak harmoni hubungan antara kaum dan agama.
“MCCBCHST tidak sepatutnya mencampuri urusan, hal-ehwal dan pentadbiran agama Islam sebagai agama Persekutuan. Kami beranggapan peningkatan amalan beragama yang meluas, sihat dan teratur dalam kalangan pengikut semua agama tentulah menjadi antara cita-cita murni badan ini.
“Namun malangnya, dalam konteks penambahbaikan kepatuhan orang Islam kepada agama melalui cadangan pindaan undang-undang (Akta 355), MCCBCHST cuba menghalang dengan bantahan yang tidak berkaitan dan naratif yang salah.
“Ini bukan sahaja tindakan keterlaluan dan provokatif, tetapi boleh dilihat sebagai perbuatan mencetus permusuhan dan tidak boleh diterima sama sekali,” katanya semalam.
Mengulas lanjut, Takiyuddin menggesa kerajaan Persekutuan memberi maklum balas dan mengambil tindakan segera terhadap kenyataan badan berkenaan yang dianggap songsang.
“10 hari terakhir bulan Ramadan merupakan tempoh paling suci dan bermakna bagi umat Islam. Dalam tempoh ini perhatian orang Islam ialah untuk meningkatkan semua kegiatan beribadah.
“Sayangnya tempoh ini secara sengaja dipilih untuk mencampak bantahan dan polemik kepada masyarakat Islam tanpa mengambil kira kesannya ke atas orang Islam,” katanya. – UTUSAN










