GUA MUSANG: Pengguna jalan dan penduduk tempatan di kawasan sekitar tapak pembinaan di projek Lingkaran Tengah Utama (LTU) di laluan Gua Musang-Kuala Lipis berhampiran Taman Wangi mendakwa mereka berdepan bahaya apabila laluan itu rosak.
Dakwa mereka, laluan itu rosak susulan sikap degil pemandu kenderaan berat yang berulang-alik melalui jalan sementara walaupun papan tanda larangan untuk laluan kenderaan berat telah diletakkan.
Seorang penduduk Che Hamid Ismail, 45, berkata, jalan itu sering rosak walaupun sering diselenggara oleh pihak berwajib.
Katanya, jalan tersebut merupakan laluan penting penduduk dan pengguna jalan untuk ke Kuala Lumpur atau Kota Bharu.
“Sebelum ini laluan sepanjang lebih tiga kilometer bermula hadapan Petronas Persiaran Raya ke Bulatan Tanah Putih itu sering rosak apabila jalan berlubang, beralun dan tidak rata kerana dilalui banyak kenderaan muatan barangan dan bas.
“Kenderaan berat yang melalui jalan ini memberi risiko kepada pengguna kerana jalan sempit menyebabkan penunggang motosikal berselisih ketika melalui kawasan jalan yang beralun dan tidak rata,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Seorang lagi pengguna jalan raya, Nor Fifi Rosli, 35, memberitahu, pemandu kenderaan berat sepatutnya menggunakan jalan lama di laluan Gua Musang-Jeli. – UTUSAN










