EPULUH tahun berada dalam industri seni, nama pelakon dan penyanyi cantik ini sememangnya sudah tidak perlu lagi diperkenalkan.
Bagaimanapun, dalam meniti kehidupan sebagai seorang pelakon dan penyanyi, tentunya Elizabeth Tan juga tidak terlepas daripada ‘serangan’ pertanyaan daripada peminat mengenai perkara peribadi.
Maklum sahajalah, dia juga merupakan isteri orang dan tentunya sebagai wanita yang sudah berumah tangga, pertanyaan mengenai zuriat sering menjadi topik bualan.
Mengakui masih menanti dan berusaha untuk menimang cahaya mata sebagai penambah seri keluarga, dia yang mesra disapa sebagai Lizzy, bagaimanapun tidak mahu tertekan memikirkan perkara itu biarpun baharu sahaja berdepan dengan keguguran anak pertamanya baru-baru ini.
Hanya jika dia tidak mengalami episod sedih itu, barangkali dia dan suami kini tersenyum riang membawa khabar gembira bahawa tidak lama lagi bakal menimang cahaya mata sulung mereka.
Pun begitu, sebagai manusia biasa, segalanya sudah ditentukan oleh Yang Maha Esa dan Lizzy mengakui, menerimanya dengan hati yang reda.
“Dua bulan lalu, saya telah alami keguguran dengan kandungan juga masih berada pada peringkat awal. Bagaimanapun, saya reda dengan takdir dan belum rezeki saya untuk menimang cahaya mata bersama suami.
“Buat masa sekarang, banyak perubahan yang berlaku seperti berat badan bertambah, muka pun naik jerawat akibat perubahan hormon.
“Tapi saya mahu positif sahaja. Tak mengapalah, pada masa akan datang, saya akan berusaha lagi untuk hamil,” katanya.
Kongsi Elizabeth lagi, dia masih menunggu keputusan ujian darah yang dibuat di hospital bagi memastikan dirinya tiada penyakit berisiko.
Sebelum ini, jelasnya, doktor pernah menyarankan penyanyi itu menjalani rawatan kesuburan bagi meningkatkan peluang kehamilan namun tidak berjaya.
Dalam pada itu, bercerita mengenai perkembangan kerjaya, Lizzy yang baharu sahaja muncul dengan filem berjudul Sheriff : Narko Integriti mengakui watak Asisten Supritendan (ASP) Jennifer Wong agak sukar dilakukan.
Ini kerana, selain menggalas tugas sebagai seorang anggota polis, Jennifer Wong juga merupakan seorang ibu.
“Agak susah juga sebenarnya nak bawakan watak itu sebab saya pun belum jadi seorang ibu. Antara usaha yang saya buat ialah menjadikan kehadiran anak-anak saudara dalam hidup sebagai semangat untuk menjiwai watak itu.
“Menerusi filem ini, saya merupakan seorang ibu kepada anak lelaki yang berusia 10 tahun. Bagaimanapun, saya syukur kerana dapat menyelesaikan tugas dengan sehabis baik,”katanya.
Jangan benci Lizzy
Berkongsi lanjut mengenai pengalamannya membawakan watak Jennifer, kata Lizzy, menerusi filem arahan Syafiq Yusof ini, dia teruja kerana dapat membawakan watak antagonis.
Pun begitu, naskhah kali ini tidak memerlukannya banyak aksi mempertahankan diri seperti filem sebelum ini namun tetap bermain dengan senjata api.
“Sebenarnya sudah lama saya mencari watak antagonis, jadi bila ditawarkan watak yang sebegini saya sangat seronok.
“Walaupun ada plot twist di hujung cerita, saya harap penonton tidak membenci saya sebab itu hanya sekadar watak dalam filem itu sahaja. Bukan diri saya yang sebenar,” katanya.
Tambahnya lagi, jika ditawarkan untuk berlakon dia lebih suka memilih watak yang mempunyai unsur gangster berbanding membawa watak feminin dan bersifat lemah.
“Watak yang sebegini lebih menarik dan kompleks. Kalau dalam kehidupan yang sebenar, kita tak dapat nak rasai pengalaman jalan cerita yang sebegini.
“Bagaimanapun, apa yang lebih penting, saya bersyukur apabila Syafiq memberi peluang kepada saya untuk terlibat dalam naskhah ini, Ini merupakan kali ketiga saya berlakon di bawah filem arahannya.
“Tak sangka dia masih beri kepercayaan walaupun saya ini tak adalah pandai berlakon sangat. Saya tak rasa layak sebab masih ramai pelakon-pelakon yang lebih hebat dari Lizzy,” katanya.










