KULAI: Jumlah hartanah tidak terjual di negeri ini termasuk di Forest City, Iskandar Puteri dijangka berkurangan dalam tempoh beberapa tahun akan datang ekoran unjuran positif terhadap ekonomi Johor.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd. Jafni Md. Shukor berkata, setakat awal tahun ini, lebih 70 peratus kediaman yang ditawarkan di Forest City telah terjual.
“Di Johor, kita dapat lihat banyak hartanah yang tidak terjual sejak empat tahun lepas telah terjual dalam tempoh masa dua tahun ini.
“Contohnya di Forest City yang digelar sebagai bandar berhantu, ramai orang tidak tahu 70 peratus pembangunan di situ telah terjual. Sama juga dengan kawasan Country Garden di Danga Bay,” katanya kepada pemberita dalam majlis rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri di Hutan Bandar, Bandar Putra di sini, hari ini.
Mohd. Jafni memberitahu, pihaknya bersetuju dengan kenyataan dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa Johor bakal menjadi negeri maju mengatasi negeri lain di Malaysia dalam tempoh beberapa tahun akan datang.
“Selain kelebihan lokasi bersebelahan dengan Singapura, langkah diambil kerajaan dalam mengurangkan kerenah birokrasi bagi menarik kemasukan lebih banyak pelaburan asing turut menjadi faktor utama.
“Ini ditambah dengan pelaksanaan projek berimpak tinggi seperti Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dan Zon Kewangan Khas (SFZ), ia sudah tentu akan memacu pertumbuhan ekonomi negeri ini pada masa depan,” ujarnya. – UTUSAN










