Hamzah Ahmad Ketua Polis Pulau Pinang yang baharu

Hamzah Ahmad Ketua Polis Pulau Pinang yang baharu

RAZARUDIN Husain (tengah) ketika menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas antara Hamzah Ahmad (kanan) dan Khaw Kok Chin (kiri) di Dewan Mutiara di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Pulau Pinang
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN :Timbalan Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (Gerakan), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, Datuk Hamzah Ahmad secara rasmi dilantik sebagai Ketua Polis Pulau Pinang yang baharu hari ini.

Beliau mengantikan Datuk Khaw Kok Chin yang dilantik sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman sejak 25 Mac lalu.

Majlis Serah Terima Tugas itu yang dilaksanakan di Dewan Mutiara di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di sini hari ini disaksikan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.

Razarudin berkata, pelantikan tersebut dibuat secara bijaksana setelah mempertimbangkan kredibiliti dan daya kepimpinan yang dimiliki oleh Hamzah untuk memikul tanggungjawab yang diamanahkan.

“Saya yakin, beliau (Hamzah) yang merupakan anak kelahiran Sik, Kedah, dengan berbekalkan pengalaman selama lebih 36 tahun, dapat membawa PDRM Kontinjen Pulau Pinang ke arah kecemerlangan yang lebih gemilang.

“Pengalaman bertugas di peringkat IPD (Ibu Pejabat Polis Daerah), Kontinjen, Maktab PDRM Kuala Lumpur dan Bukit Aman pasti menjadikan amanah baharu ini ‘alah bisa tegal biasa’ kepada beliau,” katanya ketika berucap di sini hari ini.

Menurut Razarudin, beliau turut berharap agar semua pihak akan dapat memacu gerak kerja jabatan dan pasukan ke arah kecemerlangan yang dinamik serta tatakelola yang berkesan.

“Ibarat dibuang ke laut menjadi pulau, ditebar ke langit menjadi bintang, dicampak ke hutan menjadi gunung,” katanya.

Tambah Razarudin, seluruh warga PDRM Kontinjen Pulau Pinang juga diseru agar mengukuhkan iltizam untuk memberikan perkhidmatan yang telus, cekap dan amanah bagi meningkatkan keyakinan masyarakat dan imej pasukan.

Sementara itu, Kok Chin berkata, beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua warga PDRM Kontinjen Pulau Pinang atas segala kerjasama, kesungguhan, inisiatif dan komitmen yang telah diberikan sepanjang beliau diamanahkan sebagai Ketua Polis Pulau Pinang sebelum ini.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×