KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini memberi amaran kepada pihak pembelaan agar tidak mengulangi soalan yang sama terhadap Datuk Zarul Ahmad Mohd. Zulkifli dalam prosiding mencabar kredibiliti saksi pada perbicaraan kes rasuah terowong dasar laut Pulau Pinang melibatkan Lim Guan Eng.
Hakim Azura Alwi turut menegur peguam Haijan Omar yang mewakili bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu kerana kerap bertanyakan soalan sama, namun menggunakan perkataan yang berbeza.
Beliau berpendapat, pihak pembelaan boleh mengemukakan penghujahan pada akhir prosiding (mencabar kredibiliti saksi) kerana jika soalan-soalan yang sama kerap dikemukakan, dikhuatiri akan melengah-lengahkan perbicaraan.
“Fakta sudah ada, kamu boleh buat hujahan. Saya sudah hilang fokus dan mungkin juga kehilangan fakta. Elok-elok saya dapat menyalin fakta, tapi kamu pusing-pusing bertanya soalan namun menggunakan perkataan yang berbeza.
“Mungkin kamu mahu saksi menjawab soalan (mengikut cara kamu), namun saksi sudah menjawabnya, jadi tak perlu tanya lagi. Saya ingatkan bahawa akhirnya nanti kamu yang akan tanggung risiko. Saya beri amaran pada kamu,” tegas Azura.
Terdahulu, Haijan menyoal Zarul Ahmad secara bertalu-talu berhubung sumber wang RM2 juta yang didakwa oleh saksi itu diberikan kepada Guan Eng.
Mahkamah sedang mendengar prosiding mencabar kredibiliti Zarul Ahmad, 65, bagi menentukan sama ada pernyataan yang diberikan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bercanggah dengan keterangannya pada perbicaraan itu.
Saksi pendakwaan ke-23 (SP23) tersebut ketika itu merupakan pengarah Consortium Zenith Construction Sdn. Bhd. (CZCSB) iaitu syarikat yang dilantik melaksanakan projek terowong dasar laut Pulau Pinang.
Sementara itu, Azura turut menegur seorang lagi peguam, R.S.N. Rayer yang `bertikam lidah’ dengan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin berhubung isu Zarul Ahmad berbohong di mahkamah.
Rayer menyuarakan perasaan tidak puas hatinya bahawa saksi berkenaan kerap memandang pasukan pendakwaan ketika memberi keterangan namun perkara itu dibantah oleh Wan Shaharuddin.
“Saya tidak faham, peguam kerap guna modal yang sama dari dulu (saksi tengok muka timbalan pendakwa raya) ketika beri keterangan. Cari modal lain kalau nak soal (saksi), tak perlu kata tengok saya,” tegas beliau.
Prosiding itu turut hangat seketika selepas Rayer mendakwa Zarul Ahmad berbohong yang mana kemudiannya dinafikan oleh saksi berkenaan.
“Tidak perlu bergaduh, nanti sampai buka (berbuka) pun tak habis. Masing-masing nak menegakkan pendapat, masing-masing `triggered’. Dua-dua pihak boleh berhujah nanti,” ujar Azura.
Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu sedang dibicarakan atas pertuduhan menerima suapan wang RM3.3 juta sebagai tindakan membantu CZBUCG milik Zarul Ahmad dilantik melaksanakan projek terowong dasar laut dan jalan utama bernilai RM6.3 bilion.
Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di antara bulan Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, KOMTAR.
Perbicaraan bersambung Khamis ini. – UTUSAN










