KOTA BHARU: Suspek yang melepaskan tembakan di Balai Ketibaan Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Hafizul Harawi, 38, didakwa mahu melarikan diri ke Mekah melalui Thailand sebelum diberkas polis di hadapan sebuah hospital swasta di sini kelmarin.
Suspek yang dibenarkan ditahan reman selama tujuh hari oleh Mahkamah Majistret di sini ketika dibawa melepasi pemberita sempat berkata bahawa dia mahukan tujuh peguam mewakilinya.
Dia ditahan selepas mendapatkan laporan pemeriksaan perubatan di hospital swasta berkenaan selain turut memiliki empat kad pengenalan individu lain yang salah satu daripadanya digunakan untuk mendaftar masuk di sebuah hotel.
Suspek kini telah dipindahkan ke Selangor menggunakan pesawat khas semalam bagi memudahkan siasatan dibawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan.
Berdasarkan siasatan, suspek juga adalah seorang hafiz yang pernah mengikuti pengajian agama di Pondok Repek, Pasir Mas, Kelantan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan lanjut berkaitan kes tersebut susulan penemuan sejumlah mata wang Arab Saudi semasa serbuan.
Larikan diri
Katanya, polis tidak menolak kemungkinan suspek memang mahu melarikan diri ke luar negara ekoran insiden yang berlaku dan berdasarkan kepada sejumlah mata wang asing yang dimilikinya.
“Selain itu, kita turut menjumpai mata wang Thailand. Mengenai sama ada betul atau tidak suspek mahu melarikan diri ke Mekah, itu masih dalam siasatan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini, semalam.
Mohd. Shuhaily memberitahu, suspek ditahan pada pukul 3 petang kelmarin selepas selesai mengambil laporan perubatan di sebuah hospital swasta di sini.
Katanya, siasatan awal mendapati suspek telah membuat pemeriksaan kesihatan itu seminggu sebelum kejadian.
Ujarnya, ketika itu suspek baru pulang dari Arab Saudi kemudian singgah di Bangkok sebelum memasuki negara melalui sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan.
“Masih terlalu awal untuk saya katakan bahawa laporan perubatan itu digunakan untuk permohonan visa,” katanya.
Mohd. Shuhaily memberitahu, suspek dipercayai tiba di Kelantan pada Ahad selepas waktu Zuhur.
Masih awal
Katanya, suspek kemudiannya menginap di sebuah hotel dengan membuat pendaftaran menggunakan identiti individu lain menyebabkan kehadirannya gagal dikesan.
“Selepas kejadian berlaku, suspek berusaha untuk ke Kelantan tanpa menggunakan bantuan mana-mana individu.
“Semasa ditahan, keadaan fizikal dan mental suspek juga dilihat normal,” katanya.
Ujarnya, motif peribadi terhadap isteri menjadi punca Hafizul melepaskan dua das tembakan dalam kejadian tersebut.
“Setakat ini, tiada unsur lain berkaitan kejadian tersebut. Kita bawa suspek pulang ke Selangor hari ini (semalam) untuk selesaikan siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu cubaan membunuh,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd. Shuhaily menambah, Hafizul merupakan seorang hafiz al-Quran berdasarkan ujian yang dilakukan suspek fasih membaca ayat-ayat suci al-Quran.
Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek pernah mengikuti pengajian agama di Pondok Repek, Pasir Mas, Kelantan.
“Suspek lahir di Selangor dan membesar di Kuala Lumpur tapi pernah belajar di Kelantan,” katanya.
Beri kerjasama
Sementara itu, Hafizul memaklumkan dia memerlukan seramai tujuh peguam untuk mengendalikan kesnya.
Kenyataan itu dizahirkannya sebaik sahaja dia tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Kota Bharu, semalam.
Hafizul turut kelihatan tenang dan memberi salam kepada pihak media yang membuat liputan berhubung kes tersebut.
“Saya akan beri kerjasama kepada pihak polis,” katanya.
Terdahulu, Hafizul yang memakai baju lokap berwarna ungu dan pelitup muka tiba di pekarangan mahkamah kira-kira pukul 8.27 pagi dengan dikawal ketat oleh anggota polis.
Dalam kejadian pada pukul 1.30 pagi Ahad lalu di balai ketibaan Terminal 1 KLIA, Hafizul adalah suspek utama yang dipercayai melepaskan tembakan ke arah isterinya yang juga seorang pemilik agensi pengendali umrah.
Tembakan itu telah mengenai pengawal peribadi isterinya itu yang kini menerima rawatan di Hospital Cyberjaya. – UTUSAN










