Giatmara Bagan Datuk dinaik taraf kampus Institut Malaysia-China - Utusan Malaysia

Giatmara Bagan Datuk dinaik taraf kampus Institut Malaysia-China

AHMAD Zahid Hamidi menyampaikan duit raya kepada kanak-kanak pada Majlis Sambutan Aidilfitri Parlimen Bagan Datuk di Kompleks UMNO Bagan Datuk hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN DATUK: Pusat Giatmara Bagan Datuk akan dinaik taraf menjadi kampus Institut Malaysia-China (MCI) sebagai pusat persediaan pelajar Malaysia melanjutkan pengajian dalam bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) ke negara China.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, berkata ia selaras dengan tawaran dari China untuk menaja sepenuhnya kira-kira 2,000 pelajar TVET dari Malaysia ke negara tersebut.

“Pagi tadi saya bersama Pengerusi MARA, Datuk Seri Asyraf Wajdi Dusuki melawat ke Pusat Giatmara Bagan Datuk dan bersetuju ia dinaik taraf sebagai Kampus MCI.

“Majlis MARA telah meluluskan penubuhan MCI sama fungsinya seperti Institut Jerman-Malaysia (GMI) yang telah ditubuhkan sebelum ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Aidilfitri Parlimen Bagan Datuk di Kompleks UMNO Bagan Datuk di sini malam ini.

Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Majlis TVET Negara memberitahu, selaras itu usaha untuk menambah keluasan kawasan Kampus MCI akan dilakukan dengan kerjasama Pejabat Daerah dan Tanah akan melakukan pembelian tanah dalam waktu terdekat.

Katanya, kawasan Giatmara Bagan Datuk sedia ada seluas 1.2 hektar dijangka akan ditambah menjadi sehingga 24 hektar.

Bercakap kepada pemberita kemudiannya, Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu menjelaskan, semua fasiliti di kampus tersebut dipertingkatkan dengan kerjasama sebuah organisasi dari China dan menjadi pusat persediaan kepada pelajar Malaysia sebelum dihantar melanjutkan pelajaran ke China.

Menurut beliau, program yang terletak di bawah MARA tetapi dibuka kepada semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum itu memberi tumpuan khususnya dalam bidang kenderaan elektrik (EV) menggunakan tenaga diperbaharui, kereta hidrogen dan telekomunikasi.

Beliau memberitahu, ia kerana China sendiri telah mempertingkat kemampuan telekomunikasinya daripada 5G kepada 5.5G, jadi mahu Malaysia menyediakan tenaga terlatih berkaitan.

Jelasnya, ketika ini seramai 650 pelajar Malaysia daripada 2,000 tempat yang ditawarkan telah dihantar ke China menerusi program MCI tersebut.

Ujarnya, ia bersesuaian dengan dasar baharu kerajaan yang akan diumumkan oleh Perdana Mebteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, tidak lama lagi iaitu Dasar Kerjasama Timur.

“Maka, pihak MARA telah bersetuju dengan penubuhan MCI dan Institut Malaysia-Korea Selatan (MKI) iaitu institusi berkaitan TVET untuk menterjemahkan kerjasama antara Malaysia dengan China dan Korea Selatan.

“Ini berikutan daripada penambahan pelaburan dari dua negara itu yang menyatakan kaedah pelaburan itu dibuat adalah untuk melokasi semula pelaburan mereka di negara ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×