KUALA LUMPUR: Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin disifatkan sebagai tidak layak memberi kenyataan berhubung perkembangan semasa negara termasuk isu-isu politik.
Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil berkata, bekas Perdana Menteri itu gagal dalam membantu pihak berkuasa menjejaki menantunya, Datuk Seri Muhammad Adlan Berhan, 48 yang sedang ‘diburu’.
“Jangan cakap mengenai Kuala Kubu Bharu atau pilihan raya kecil (PRK). Bawa pulang menantu anda (Muhyiddin) dahulu, kemudian baru anda berada di kedudukan yang lebih baik untuk bercakap mengenai apa-apa sahaja.
“Sepatutnya sebagai (seorang) pemimpin, beliau seharusnya menjadi contoh yang baik untuk mengarahkan menantunya balik ke Malaysia dan berdepan dengan siasatan. Jika gagal lakukan perkara asas ini, maka saya rasa beliau tiada ‘moral standing’ untuk bercakap,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Lembah Pantai 2024 di IWK Eco Park@Lembah Pantai, di sini.
Terdahulu, media melaporkan, Muhammad Adlan yang menghilangkan diri sejak Mei tahun lalu, diperlukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT).
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, kertas siasatan membabitkan Muhammad Adlan telah selesai dilengkapkan.
Pada Oktober tahun lalu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain mengesahkan telah menyerahkan dokumen diperlukan kepada Polis Antarabangsa (Interpol) untuk permohonan Notis Merah terhadap Muhammad Adlan dan peguam, Mansoor Saat, 69. – UTUSAN










