KUALA TERENGGANU: Empat individu di negeri ini mengalami kerugian lebih RM126,000 setelah disyaki menjadi mangsa penipuan sindiket penjualan barang kemas secara dalam talian, minggu lalu.
Menurut Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan, siasatan awal mendapati mangsa pertama iaitu wanita berusia 29 tahun mahu membeli dua utas gelang emas pada harga RM512 menerusi aplikasi TikTok.
Beliau berkata, suspek bagaimanapun telah memperdayakan mangsa yang diarahkan untuk membuat 20 transaksi pembayaran ke dalam sebuah akaun bank sehingga mangsa rugi RM106,012.
Kes kedua pula jelasnya, melibatkan mangsa lelaki berumur 38 tahun yang berminat untuk membeli dua utas gelang emas di aplikasi Telegram pada harga RM3,000 namun telah kerugian RM8,000.
“Selain itu terdapat dua lagi kes dengan modus operandi sama iaitu iklan jualan barang kemas di TikTok dan mangsa diarah menekan pautan untuk kononnya disambung ke Telegram Jualan Emas Ar-Rahnu.
“Kesemua mangsa diarahkan untuk membuat transaksi pembayaran awal oleh suspek atas pelbagai alasan antaranya cukai, yuran pemprosesan, caj cagaran dan wang jaminan.
“Selepas membuat pembayaran, mangsa gagal menghubungi suspek yang bertindak menyembunyikan diri sebelum menyedari mereka telah menjadi mangsa penipuan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mazli berkata, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Terengganu telah membuka 20 kertas siasatan daripada 108 laporan yang diterima dalam tempoh 31 Mac sehingga 6 April.
Menurut beliau, siasatan itu dijalankan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan (KK) kerana menipu yang membabitkan jumlah kerugian kira-kira RM662,903 dalam tempoh sama.
“Dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini sahaja, sebanyak 1,138 laporan polis dibuat oleh mangsa berkait jenayah komersial dengan 267 kertas siasatan telah dibuka,” tambah beliau lagi. – UTUSAN










