KUALA LUMPUR: Polis membongkar dua pusat panggilan iaitu sindiket rekod hasil penipuan serta tawaran khidmat siaran tidak wujud dalam serbuan di ibu negara, baru-baru ini.
Dalam serbuan di sebuah premis di Cheras pada 10 April lalu, lapan individu terdiri daripada tujuh lelaki China dan seorang lelaki Vietnam ditahan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, siasatan mendapati sindiket tersebut telah beroperasi sejak Mac lalu.
Katanya, sindiket berperanan sebagai pembekal sistem rakaman dan perakaunan untuk wang penipuan dalam talian (penipuan tawaran pekerjaan) yang menumpukan kepada warga China.
“Sindiket itu berperanan sebagai pengatur cara dalam sistem pengurusan kewangan untuk sindiket penipuan dalam talian.
“Sindiket penipuan perlu membayar RM1,000 sebulan untuk menggunakan sistem sindiket. Mereka juga bertanggungjawab untuk menyelesaikan semua isu berkaitan dengan sistem,” katanya dalam sidang akhbar di Menara KPJ di sini, hari ini.
Beliau berkata, sindiket itu berjaya menjual sistem kepada lima pelanggan di China.
Menurutnya, semua pembayaran dilakukan melalui mata wang kripto dalam dolar Amerika Syarikat dan akan disimpan dalam akaun e-dompet yang disediakan oleh majikan mereka di China.
“Seramai lapan individu terdiri daripada lima lelaki dan dua wanita dari China, dan seorang wanita dari Vietnam ditahan.
“Turut dirampas empat komputer riba, dua monitor, 10 telefon bimbit, sebuah modem, sebuah router dan wang tunai berjumlah RM3,122,” katanya.
Tambahnya, enam daripada lapan individu yang terlibat didakwa di Mahkamah Majistret di Jalan Duta di sini pada 16 April lalu di bawah Seksyen 120(2) Kanun Keseksaan manakala dua individu lain dilepaskan tanpa syarat.
Sementara itu, Ramli memaklumkan, serbuan kedua terhadap sindiket pusat panggilan yang menawarkan perkhidmatan penyiaran penipuan kepada warga China di Taman Maluri, Cheras di sini 12 April lalu.
Kata beliau, sindiket itu berperanan sebagai ejen perkhidmatan yang menguruskan dan merakamkan transaksi wang penipuan.
“Semua maklumat pembayaran transaksi oleh mangsa akan disediakan melalui aplikasi mesej Telegram oleh sindiket lain yang berperanan sebagai ejen pemasaran.
“Siasatan lanjut mendapati sindiket ini menawarkan pakej penyiaran televisyen, drama dan filem palsu yang menumpukan kepada warga China,” ujarnya.
Ramli berkata, proses mendapatkan mangsa dilakukan oleh ejen pemasaran dengan menghantar mesej pendek secara rawak melalui aplikasi Telegram kepada warga China.
“Lima individu terdiri daripada dua lelaki tempatan dan tiga lelaki China berusia antara 28 dan 33 tahun berjaya ditahan.
“Mereka berperanan sebagai penyelia dan pegawai perkhidmatan pelanggan di pusat panggilan.
“Juga dirampas adalah tiga komputer riba, tiga monitor, 12 telefon bimbit, sebuah modem, sebuah router, tiga kad SIM, 40 keping nota RM100 dan 37 keping nota RM50,” katanya.
Beliau menambah, dua daripada lima individu yang terlibat didakwa di mahkamah pada 16 April di bawah Seksyen 120B(2) Kanun Keseksaan manakala tiga individu lain dijadikan saksi pendakwaan. –UTUSAN










