HULU TERENGGANU: Dua lelaki diburu polis setelah disyaki terlibat dalam kes curi barang di kedai rantaian penjagaan kesihatan dan kecantikan di Kuala Berang, dekat sini, Selasa lalu.
Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), kejadian itu berlaku kira-kira pukul 10.55 pagi apabila lelaki berkenaan yang memakai cermin kata hitam masuk ke dalam kedai dan berpura-pura seperti pelanggan.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superitenden Zainul Mujahidin Mat Yudin berkata, suspek terlebih dahulu membeli barang berupa losyen dan membuat pembayaran.
“Selepas selesai, kedua-dua lelaki tersebut bertindak kembali memilih barangan untuk kaburi mata pekerja sebelum kemudiannya berlalu keluar daripada premis setelah mencuri barangan penjagaan badan bernilai kira-kira RM129.79.
“Tidak berapa lama kemudian, suspek turut melakukan hal sedemikian di sebuah lagi cawangan kedai yang sama selepas itu dengan anggaran nilai barang dicuri lebih kurang RM115 .
“Kejadian hanya disedari kira-kira pukul 4 petang hari kejadian selepas pekerja membuat semakan melalui CCTV, ” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan kedua-dua suspek kini sedang diburu polis. – UTUSAN










