Chegu’bard didakwa fitnah, hasut rosakkan nama baik Agong

Chegu’bard didakwa fitnah, hasut rosakkan nama baik Agong

BADRUL Hisham Shaharin
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ahli Jawatankuasa Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Badrul Hisham Shaharin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini semalam atas dua pertuduhan memfitnah dan menghasut untuk merosakkan nama baik Yang di-Pertuan Agong.

Badrul Hisham, 45, atau le­bih dikenali Chegu’bard minta dibicarakan selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Siti Aminah Ghazali.

Mengikut pertuduhan pertama, Badrul Hisham didakwa membuat penerbitan menghasut di Facebook atas nama ‘Chegubard’ di Taman Bukit Cheras, pukul 12.15 tengah hari pada 6 April lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 4 (1) (c) Akta Hasutan 1948 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pertuduhan kedua, Badrul Hisham didakwa mengeluarkan kenyataan fitnah, yang dia mempunyai sebab mempercayai bahawa kenyataan itu akan merosakkan nama baik Seri Paduka.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Datuk Pe­ngelola Bijaya Diraja, Istana Negara, pada 22 Januari lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga dua tahun, atau denda, atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Syed Faisal Syed Amir menawarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan.

“Pihak pendakwaan juga memohon perintah larangan bersuara agar kedua-dua pihak tidak mengeluarkan sebarang komen di platform media sosial sehingga kes selesai,” katanya.

Namun peguam Rafique Rashid Ali yang mewakili tertuduh memohon jumlah jaminan lebih rendah atas alasan tertuduh menanggung isteri dan empat anak.

“Kami juga membantah perintah larangan bersuara kerana ia tidak berperlembagaan,” katanya.

Siti Aminah kemudian membenarkan Badrul Hisham diikat jamin RM10,000 bagi setiap pertuduhan dan menetapkan 27 Mei ini bagi sebutan kes.

Mahkamah juga menolak permohonan pihak pendakwaan bagi perintah larangan bersuara.

Peguam Rafique Rashid mengesahkan anak guamnya berdepan pertuduhan mengeluarkan kenyataan menghasut berhubung isu pengasas KK Supermart & Superstore Sdn. Bhd. yang menghadap Sultan Ibrahim. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN