CAP bimbang kesan buruk penggunaan mercun, bunga api

CAP bimbang kesan buruk penggunaan mercun, bunga api

MOHIDEEN ABDUL KADER
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) bimbang penggunaan mercun dan bunga api ketika musim perayaan ini boleh membawa kesan yang buruk terhadap manusia, alam sekitar dan haiwan.

Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, pelbagai implikasi buruk itu berpunca daripada letupan mercun dan asap bunga api kerana ia mengandungi bahan pencemar udara.

Katanya, antara bahan pencemar yang terhasil daripada letupan mercun dan bunga api adalah sulfur dioksida, karbon dioksida dan karbon monoksida selain pelbagai garam logam seperti kadmium, mangan dan aluminium.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Bahan pencemar ini boleh menjejaskan kesihatan manusia seperti gangguan pernafasan, bronkitis, asma, laringitis, radang paru-paru dan rinitis.

“Mereka yang berisiko tinggi adalah mereka yang mempunyai penyakit kronik sedia ada, warga emas dan kanak-kanak. Bukan sahaja manusia, haiwan dan alam sekitar juga turut terjejas dengan bahan pencemar ini,” katanya di sini, hari ini.

Menurut Mohideen, pencemaran bunyi juga akan mengakibatkan bayi dan kanak-kanak berada dalam keadaan tidak selesa kerana sering terkejut dengan bunyi kuat secara berterusan yang dihasilkan oleh mercun dan bunga api.

Dalam pada itu, Mohideen berkata, bunyi letupan mercun dan bunga api yang kuat turut menjejaskan haiwan secara tidak langsung.

“Pencemaran bunyi akan menyebabkan banyak haiwan peliharaan terutamanya anjing akan mengalami ketakutan akibat terkejut. Ia juga akan menyebabkan haiwan ini kemurungan sekali gus kehilangan selera makan dan lama kelamaan akan mati.

“Sementara itu, pertubuhan penyelamat hidupan liar pula mendakwa bahawa bunyi bunga api yang kuat akan mengejutkan serta memberikan tekanan tinggi kepada burung dan haiwan liar lain seterusnya menyebabkan mereka meninggalkan sarang mereka,” katanya.

Sehubungan itu, Mohideen berkata, pihak berkuasa harus menghadkan penggunaan bunga api kerana ia bukan sahaja dapat meningkatkan kualiti udara malah mengurangkan kesan terhadap alam sekitar dan kesihatan awam.

“Pelaksanaan strategi untuk mengawal penggunaan bunga api bertujuan untuk meningkatkan kualiti udara, berpotensi untuk mengurangkan kesan negatif terhadap kesihatan pernafasan manusia bagi individu yang terdedah kepadanya,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini