SHAH ALAM: Parti Bersatu membentuk 12 portfolio bagi persediaan menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu pada 7 Mei depan.
Ketua Badan Pimpinan Bersatu Negeri (BPN) Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, portfolio dalam memperkemaskan jentera pilihan raya itu meliputi kerahan anak muda dan pengundi bukan Melayu.
Menurutnya, semua bahagian Bersatu termsuk Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dipertanggungjawabkan menjaga 16 daerah mengundi di DUN tersebut.
“Saya mempengerusikan Mesyuarat Khas BPN Selangor bersama ADUN Bersatu Selangor.
“Perbincangan itu melibatkan persiapan jentera PRK DUN Kuala Kubu Bharu dan saya membentangkan perincian data serta statistik bagi semua 16 daerah mengundi selain prestasi undi awal,” katanya.
Tambah Mohamed Azmin, mesyuarat itu turut membincangkan strategi pintar dan inovasi bagi melonjakkan sokongan pengundi kepada Perikatan Nasional (PN).
“Bahan cetakan termasuk risalah telah disediakan bagi mengupas isu ekonomi dan kos sara hidup rakyat. Logistik dan bahan kempen seperti bendera dan kain rentang akan tiba di lapangan minggu ini,” ujarnya.
Jelasnya, Bersatu komited meningkatkan jentera dan gerak kerja pilihan raya di lima daerah mengundi.
“Kami juga bersetuju membentuk jawatankuasa khas bagi menarik sokongan pengundi kaum India dan Orang Asli.
“Tahniah kepada Ketua Bahagian, Srikandi, Armada, Srikandi Muda dan Bersekutu yang bersemangat menggarap kekuatan tenaga dan pemikiran bagi membina kekuatan jentera PN,” katanya.
Kerusi DUN Kuala Kubu Bharu kosong susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong pada 21 Mac lalu.
Kee Hiong, 58, yang menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Kubu Baharu di bawah Parlimen Hulu Selangor sejak 2013, meninggal dunia selepas bertarung nyawa melawan kanser sejak beberapa tahun lalu.
PRK Kuala Kubu Bharu merupakan PRK ketujuh yang diadakan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada 2022. – UTUSAN










