PETALING JAYA: Lelaki yang disyaki memukul anak kandungnya sehingga meninggal dunia di sebuah pangsapuri di Bandar Tasik Kesuma dekat Kajang Isnin lalu berdepan hukuman mati jika disabit kesalahan.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang, Superintendan Muhamad Nasir Drahman berkata, lelaki berusia 25 tahun yang masih dalam tahanan reman akan dituduh di mahkamah esok.
“Lelaki terbabit akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bandar Baru Bangi atas kesalahan membunuh anak kandungnya yang berusia enam bulan.
“Suspek akan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, seorang bayi lelaki maut selepas disyaki dipukul bapa kandungnya di kediaman mereka.
Perkara itu terbongkar selepas bedah siasat ke atas mayat bayi terbabit mendapati terdapat kesan kecederaan pada bahagian kepalanya.
Berikutan itu, polis menahan suspek di pekarangan Unit Forensik Hospital Kajang pada pukul 11.30 malam pada hari sama.
Suspek yang positif syabu direman tujuh hari bermula kelmarin sehingga 22 April untuk siasatan lanjut.
Ibu bayi itu yang mahu dikenali Siti dilaporkan berkata, kejadian dipercayai berlaku ketika dia bersama anak sulung mereka yang berusia dua tahun tiada di rumah kerana berada di rumah keluarga mentuanya.
Wanita itu mendakwa anak bungsunya ditinggalkan di rumah bersama suaminya. – UTUSAN










