PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Riyadh malam tadi, dalam rangka lawatan tiga hari bagi menghadiri Mesyuarat Khas Forum Ekonomi Sedunia (WEF).
Pesawat khas membawa Anwar mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Khalid pukul 10.25 malam Sabtu waktu tempatan atau pukul 3.25 pagi tadi waktu Malaysia, lapor Bernama.
Ketibaan beliau serta delegasi Malaysia disambut Naib Menteri Luar Arab Saudi, Waleed A El-Khereiji bersama rakan sejawatnya, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi, Datuk Wan Zaidi Wan Abdullah.
Riyadh akan menjadi hos mesyuarat khas itu yang berlangsung dua hari bermula Ahad ini bertemakan ‘Kerjasama Global, Pertumbuhan dan Tenaga untuk Pembangunan.’
Dalam pada itu, Mohamad berkata, Anwar menerima jemputan peribadi daripada Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri Arab Saudi, Mohammed Salman untuk menyertai sesi panel bertemakan ‘Wawasan Baharu untuk Pembangunan Global’ bersama-sama pemimpin negara lain semasa pembukaan mesyuarat khas itu.
Anwar dijadual menyertai Dialog Strategi Serantau Bersama mengenai ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) yang diadakan khusus untuk mengetengahkan peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN pada 2025 dan Perdana Menteri akan menyampaikan ucaptama dalam sesi ini.
Perdana Menteri juga akan menghadiri program Dialog Strategi Negara dan beliau dijangka berinteraksi dengan pemimpin industri dunia bagi mengetengahkan peluang ekonomi yang boleh dimanfaatkan di Malaysia.
Di luar mesyuarat itu, Anwar dijadual mengadakan mesyuarat dua hala dengan beberapa pemimpin termasuk rakan sejawatannya dari Jordan iaitu Bisher Hani Al-Khasawneh dan Presiden Rwanda Paul Kagame.
Perdana Menteri juga akan menyertai ketua-ketua negara dan kerajaan pada Majlis Makan Malam Khas yang dihoskan oleh Putera Mahkota Arab Saudi.
Lawatan kerja itu diyakini akan terus memperkukuh hubungan erat yang terjalin sekian lama antara Malaysia dan Arab Saudi serta memperkasa silaturahim pemimpin kedua-dua negara. – UTUSAN









