Angkat sejarah perusahaan di Klebang melalui galeri

Angkat sejarah perusahaan di Klebang melalui galeri

LIM Ban Hong menunjukkan biji kopi yang diproses di sebuah kilang di Pulau Gadong, Klebang, Melaka. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Pengusaha produk makanan tempatan sekitar Klebang di sini, disaran mewujudkan sebuah galeri sebagai salah satu tarikan pelancongan selaras dengan Tahun Melawat Melaka (TMM) 2024.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klebang, Datuk Lim Ban Hong berkata, ini kerana kawasan itu mempunyai banyak produk makanan tempatan seperti perusahaan serbuk kopi di Pulau Gadong, Tanjung Kling dan Bukit Rambai yang telah wujud sejak puluhan tahun.

Menurutnya, selain itu kuih nanas baba dan nyonya, produk berasaskan kelapa dan jambu batu merupakan antara produk yang mampu diketengahkan menjadi tarikan baharu pelancongan.

“Melalui galeri yang diwujudkan ia boleh menceritakan sejarah wujudnya produk itu serta memberi pengalaman berguna kepada pelancong. Melaka dikenali sebagai destinasi pelancongan utama dan kawasan di Pantai Klebang sudah cukup terkenal dan tidak mustahil, produk makanan boleh diketengahkan melalui sebuah galeri.

“Pelancong luar bila datang ke Melaka mereka harap dapat mencari produk unik dan saya lihat di Klebang kita ada kopi, kuih nanas, kelapa dan buah jambu untuk diketengahkan.

“Sebagai contoh, lawatan saya hari ini ke sebuah kilang kopi di Pulau Gadong yang wujud sejak 1969 mempunyai sejarah untuk dijadikan produk pelancongan,” katanya kepada pemberita selepas melawat kilang kopi di Pulau Gadong, hari ini.

Tambah Ban Hong, sewajarnya pengusaha produk perlu membuka galeri masing-masing kerana ia bukan sahaja dapat menambah produk pelancongan tetapi membantu usahawan ke peringkat lebih jauh.

Ujarnya, Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya diminta untuk mempertimbangkan usaha membantu usahawan yang ingin memperkenalkan produk baharu pelancongan Klebang.

“Kerajaan negeri juga boleh membantu untuk galeri-galeri ini dimasukkan dalam pelan induk pelancongan negeri serta dapat menambah banyak lagi produk pelancongan untuk dilawati,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN