Aliff Syukri disaman bekas menteri atas dakwaan memfitnah

Aliff Syukri disaman bekas menteri atas dakwaan memfitnah

Bicara kes saman Abdul Kadir Sheikh Fadzir ke atas Aliff Syukri Kamaruzaman akan didengar mulai 6 Januari 2026.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir mengemukakan saman terhadap ahli perniagaan, Datuk Seri Aliff Syuk­ri Kamaruzaman berhubung ke­nyataan memfitnah berkaitan hutang pelaburan berjumlah RM30 juta.

Perbicaraan kes saman fitnah itu dijadualkan didengar di Mahkamah Tinggi di sini selama tiga hari berturut-turut bermula 6 Januari 2026.

Hakim Datuk Ahmad Shahrir Mohd. Salleh turut menetapkan pengurusan kes selanjutnya pada 5 Julai ini.

Terdahulu, peguam T. Dhee­nish yang mewakili Abdul Kadir selaku plaintif berkata, anak guamnya akan memberi kete­rangan pada perbicaraan kes saman itu.

“Kemungkinan kita akan memanggil beberapa saksi daripada portal berita yang menerbitkan dakwaan defendan (Aliff Syukri) yang dimuat naik di Instagram dan Facebook milik defendan,” katanya.

Sementara itu, peguam Mohd. Tajudin Abd. Razak mewakili Aliff Syukri berkata, pihak defendan turut mengemukakan keterangan isteri defendan, Datin Seri Nur Shahida Mohd. Rashid pada perbicaraan kelak.

Abdul Kadir, 84, (plaintif) memfailkan saman pada 6 September 2023 dan mendakwa Aliff Syukri, 37, mengeluarkan kenyataan fitnah di Instagram dan Facebook miliknya pada 2 Julai 2023.

Dalam pernyataan tuntutannya, bekas menteri Kabinet itu mendakwa kenyataan tersebut membawa maksud antaranya beliau berhutang dengan defendan berjuta-juta ringgit.

Menurut Abdul Kadir, penyiaran kenyataan itu juga yang disertakan gambar beliau (Abdul Kadir) telah mengundang komen negatif penonton.

Bekas Menteri Penerangan itu berkata, Aliff Syukri terlibat dalam industri hiburan dengan jumlah pengikut yang ramai dalam platform media sosial iaitu Facebook, Instagram dan lain-lain.

Sehubungan itu, plaintif menuntut antaranya defendan membayar RM70 juta untuk libel (fitnah bertulis) dan ganti rugi yang dinilai oleh mahkamah.

Bekas Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO itu turut memohon perintah supaya defendan memberikan aku janji bertulis tidak akan menyiarkan sebarang fitnah terhadap plaintif.

Beliau juga mohon pernyataan maaf tanpa syarat disiarkan di akaun media sosial defendan dalam tempoh tujuh hari dari tarikh perintah dikeluarkan.

Berdasarkan pernyataan­ pembelaan, Aliff Syukri men­dakwa beliau telah membuat bayaran pelaburan sebanyak RM30 juta bagi mematuhi perjanjian usahasama bertarikh 26 November 2018 melibatkan plaintif, defendan dan dua syarikat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN