Aina Abdul gigih bersenam semasa bulan puasa, sasar turun berat badan sebelum konsert DFP - Utusan Malaysia

Aina Abdul gigih bersenam semasa bulan puasa, sasar turun berat badan sebelum konsert DFP

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT JALIL: Penyanyi dan komposer, Aina Abdul, sedang berusaha menurunkan berat badan menjelang konsertnya yang akan berlangsung di Malaysian Philharmonic Orchestra (MPO) di Dewan Filharmonik Petronas, KLCC pada 11 dan 12 Mei depan.

Menurut Aina, usaha itu dilakukan bagi membolehkan dia menyampaikan lagu bernada tinggi dengan baik semasa konsert itu nanti.

“Saya kira ini konsert yang susah dan mencabar. Lagu-lagu yang akan dibawakan nanti bernada tinggi dan diambil daripada album sulung saya iaitu Imaji. 

“Oleh itu, saya perlukan stamina. Sebelum ini ramai yang kata saya terlalu berfesyen sampai lupa kerjaya sebagai penyanyi. Kali ini, saya mahu pendengar menghayati seorang Aina Abdul sebagai penyanyi.

“Maka, walaupun di bulan Ramadan, saya tetap ke gimnasium untuk bersenam,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Mengulas lanjut,  penyanyi lagu Jangan Mati Rasa Itu tidak menolak kepentingan senaman untuk menguatkan vokal seorang penyanyi.

“Sebelum ini saya kawal pemakanan namun tidak bersenam. Apa yang saya perasan, suara saya menipis selain kurang sokongan.

“Selepas tukar cara diet dan bersenam, akhirnya saya berasa lebih cergas semasa membuat persembahan,” katanya.

Pemenang anugerah Vokal Terbaik Juara Lagu tiga tahun berturut-turut itu disarankan menurunkan berat badan sebanyak 7 kilogram (kg) bagi mendapatkan berat badan yang ideal.

“Saya seorang yang rendah. Kalau ikut berat dan tinggi, berat saya dikategorikan sebagai berlebihan. Sekarang saya ingin kurangkan sehingga 50 kg.

“Bukan mudah turunkan berat badan lebih-lebih lagi bagi seorang penyanyi. Saya pula selepas habis persembahan barulah sempat makan sesuatu yang berat. 

“Ingatkan saya seorang sahaja hadapi masalah ini, rupanya rakan-rakan penyanyi lain pun berdepan situasi sama,” tambahnya. 

Aina Abdul pada November lepas mengadakan konsert A Night With Aina Abdul 3.0 di Axiata Arena, Bukit Jalil yang dihadiri 10,000 penonton. 

Beliau juga terpilih sebagai penyanyi pembuka tirai untuk konsert artis Korea Selatan, Ailee yang dijadualkan berlangsung pada 22 Jun ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN