Adam baru hari pertama belajar mengaji

Adam baru hari pertama belajar mengaji

MUHAMMAD ADAM ZACKRY ROSLAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: “Adam (Muhammad Adam Zackry Roslan) kelihatan resah, sekejap berdiri dan sekejap duduk selesai mengaji al-Quran sebelum pulang pada petang kejadian.”

Demikian menurut guru me­ngaji Adam, Suliahkhana Hamim, 60, yang turut memaklumkan bahawa hari kejadian itu adalah hari pertama arwah belajar mengaji di rumahnya setelah berpindah dari Jalan Parit Ismail ke Kampung Permatang Sepam pada tahun lalu.

Ibu Adam yang hanya mahu dikenali sebagai Rozita datang berjumpanya sebelum bulan puasa, namun dia memberitahu sepanjang Ramadan kelas mengaji al-Quran dan muqaddam akan bercuti.

Memandangkan Adam bersekolah agama pada pukul 3.30 petang, dia meminta ibu arwah menghantar padanya 2.30 petang dan tidak perlu menunggu selepas kelas berakhir.

“Saya pun belum kenal rapat dengan arwah, hanya tahu namanya Adam dan hari itu dia mula membaca al-Quran dengan bacaan al-fatihah. Arwah yang berpakaian lengkap baju sekolah agama selesai mengaji pada pukul 2.45 petang dan akan ke Sekolah Agama (SA) Kampung Permatang Sepam,” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini semalam.

Dalam kejadian 3 petang kelmarin, Adam maut apabila motosikal yang ditunggangnya terbabas lalu melanggar tiang telekom di Kampung Permatang Sepam semasa pulang ke rumah selepas selesai mengaji.

Suliahkhana hanya menge­tahui kemalangan yang menim­pa Adam menerusi kumpulan WhatsApp kampung dan terkejut mang­sa adalah anak muridnya.

“Saya ada berpesan kepada Adam, hati-hati menunggang motosikal, jangan bawa laju kerana hari nak hujan,” katanya yang sudah enam tahun menjadi guru mengaji di kampung tersebut.

Sementara itu ibu Adam enggan ditemu bual, manakala bapa tirinya yang enggan namanya disiarkan memberitahu, arwah adalah anak bongsu daripada empat beradik.

Menurutnya, tiga lagi adik beradik Adam tinggal bersama-sama keluarga arwah bapanya di Kampung Parit Dahlan. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×