Ada pihak sengaja alih isu Palestin dengan fokus kes Iran serang Israel

Ada pihak sengaja alih isu Palestin dengan fokus kes Iran serang Israel

MOHAMAD Hasan ketika menghadiri majlis Aidilfitri Wisma Putra di Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Menteri Luar , Datuk Seri Mohamad Hasan menyifatkan ada pihak tertentu cuba mengalihkan perhatian dunia daripada isu kekejaman rejim Israel ke atas Palestin.

Kelompok itu ujar beliau, dilihat mahu memperbesarkan isu serangan balas Iran kepada Israel bagi memastikan komuniti antarabangsa melupakan pula isu lebih besar di Palestin.

“Ada pihak sengaja mahu dunia meminggirkan isu Palestin dan inilah kita (Malaysia) tidak mahu berlaku,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Aidilfitri Wisma Putra di sini.

Iran menerusi sekutunya di Iraq, Lebanon dan Yemen melancarkan serangan Operasi Janji Benar pada 13 April lalu ke atas beberapa sasaran strategik ketenteraan di wilayah Israel sebagai balas dendam terhadap pengeboman rejim Zionis ke atas Kedutaan Besar Iran di Damsyik, Syria yang membunuh 16 orang termasuk komander tenteranya pada 1 April lalu.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, beliau telah menghubungi rakan sejawatnya di Iran, Hossein Amir-Abdollahian bagi mendapatkan penjelasan berhubung perkara berkenaan.

“Alhamdulillah, Teheran pun mengakui cuma setakat tindak balas sekali setelah langsung tiada respons apa-apa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB),” jelasnya.

Beliau merujuk jawatankuasa tertinggi badan dunia itu yang hanya berdiam sahaja ketika serangan Israel terhadap misi diplomatik Iran yang dilindungi perundangan antarabangsa.

Sebaliknya kata beliau lagi, jangkaan Teheran terbukti benar apabila PBB tampak cukup ‘bising’ apabila Israel pula diserang balas walaupun tiada kemalangan jiwa direkodkan.

Malahan, Mohamad berkata, Iran sempat lagi memaklumkan kepada Tel Aviv untuk menyerang negara itu dua hari lebih awal tetapi amaran ini diperlekehkan.

Menyentuh situasi semasa rantau Asia Barat ekoran insiden panas itu, beliau berkata bahawa keadaan pertelingkahan dapat dibendung kedua-dua pihak daripada lebih serius.

“Saya ada minta Iran kekal bertenang kerana pergaduhan berterusan tidak mendatangkan kebaikan dan menyebabkan suasana geopolitik dunia menjadi tidak seimbang,” katanya.

Ditanya berhubung keadaan semasa warga Malaysia di Iran, Mohamad memberi jaminan bahawa semua 38 orang termasuk staf kedutaan disah berada dalam keadaan selamat termasuk hampir 3,000 rakyat Malaysia di Jordan yang sebahagian besarnya pelajar dan kira-kira 800 orang di Lebanon yang kebanyakannya anggota pengaman PBB. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN